MKT UMNO mula bermesyuarat, dijangka buat beberapa keputusan penting
Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 27, 2023 20:45 MYT
Januari 27, 2023 20:45 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) bermesyuarat malam ini dan dijangka akan membuat beberapa keputusan penting terutamanya membabitkan tindakan terhadap beberapa individu dalam parti tersebut.
Ahli MKT dilihat mula memasuki ruang legar di Menara Datuk Onn bermula jam 8 malam bagi menghadiri mesyuarat tersebut.
Antara agenda mesyuarat yang paling menjadi bualan adalah membabitkan nasib dan masa depan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau itu merupakan individu yang lantang mengkritik kepimpinan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.
Kemelut tersebut kian memuncak beberapa minggu lalu apabila beliau sekali lagi lantang mengkritik selepas perwakilan Perhimpuan Agung UMNO 2022 (PAU2022) memutuskan agar pertandingan dua jawatan tertinggi parti itu tidak diadakan.
Malah Khairy juga mendakwa wujudnya ahli perwakilan haram turut diimport memasuki perhimpunan tersebut bagi menyokong usul berkenaan.
Rentetan daripada itu, ramai pihak dari dalam UMNO sendiri mahu beliau dan beberapa individu lain diambil tindakan segera berdasarkan tindakanya yang dianggap melampau itu.
Semalam, Ahmad Zahid memberi banyangan akan melakukan pembersihan besar-besaran yang tidak hanya membabitkan Khairy tetapi turut akan melibatkan beberapa individu lain dalam UMNO pada mesyuarat malam ini.