MKT UMNO mahu Parlimen dibubarkan tahun ini - Ahmad Maslan

Firdaus Azil
September 30, 2022 22:59 MYT
Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertua Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini bersetuju untuk Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini juga.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertua Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, keputusan itu berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat COVID-19, selepas kerajaan Pakatan Harapan ‘runtuh’ akibat persengketaan dalaman.
“Sehubungan itu semua jentera parti di setiap peringkat diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan yang dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya lagi.
Ahmad berkata, UMNO percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperolehi, maka sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara.
Beliau berkata perkara itu penting, khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka, di samping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik buat negara.
Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Pontian, berkata demikian kepada sidang media selepas selesai mesyuarat MKT UMNO yang dipengerusikan Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato' Onn, malam ini.
Awal hari ini, pemimpin kanan parti yang dikenali sebagai 'Top 5', telah mengadakan perbincangan mengenai tarikh pembubaran Parlimen.
Selain Ahmad Zahid, Top 5 turut dianggotai Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, dan tiga Naib Presiden selain Ismail Sabri, iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, MKT juga menyambut baik keputusan Kabinet yang mengarahkan siasatan lanjut dan tindakan perundangan segera dilaksanakan oleh agensi-agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat salah laku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.
“Mesyuarat juga menggesa agar Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Buku Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness” untuk segera didedahkan kepada umum.
“Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang-undang negara, seperti contoh yang terdapat di dalam muka surat 342 buku tersebut yang berkemungkinan melanggar Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009,” ujarnya lagi.
Selain itu Ahmad berkata, UMNO juga menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada 15 Mei 2022 lalu, yang mahukan laporan siasatan pasukan petugas khas dalam isu kedaulatan Batu Putih untuk segera dibentangkan dan didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan soal maruah dan kedaulatan negara.
Mesyuarat MKT, kata Ahmad lagi, telah menerima peletakan jawatan Tan Sri Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan bersetuju melantik Datuk Mohd Hafarizam Harun sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO yang baru.
Yang terakhir, jelas Ahmad, Mesyuarat MKT juga mengambil maklum berkenaan pertemuan antara Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan Ahmad Zahid baru-baru ini, namun tiada perincian diberikan.
#Yang di-Pertuan Agong #PRU15 #MKT UMNO #bubar parlimen #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob
;