MKT UMNO cadang Ismail Sabri calon PM untuk PRU-15

Firdaus Azil
April 14, 2022 19:54 MYT
MKT UMNO hari ini sebulat suara cadangkan Naib Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadi calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum akan datang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini sebulat suara mencadangkan Naib Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadi calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Selain itu, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, MKT turut memutuskan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan, yang berakhir 31 Julai ini, tidak akan diteruskan.
Dalam pada itu, Ahmad berkata selain itu MKT mahu penbentangan Akta Antilompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan.
“(Akta ini) mesti diluluskan tanpa berkompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba untuk menggagalkan mahupun cubaan untuk mengubah maksudnya kepada bentuk perundangan lain.
“UMNO berpendirian Akta Antilompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati,” katanya lagi.
Selain itu, Ahmad berkata, satu perhimpunan Agung Khas UMNO akan diadakan pada 14 Mei depan bagi tujuan meminda Perlembagaan parti mengenai tempoh pemilihan.
#calon perdana menteri #ismail sabri yaakob #Ahmad Maslan #Zahid Hamidi #MT UMNO #PRU15
;