MKT UMNO adakan mesyuarat khas isu politik esok - Ahmad Maslan
Bernama
Ogos 2, 2021 15:30 MYT
Ogos 2, 2021 15:30 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO akan mengadakan satu mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi secara dalam talian esok (3 Ogos) bagi membincangkan mengenai isu politik terkini, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini, Ahmad memaklumkan mesyuarat dijadual berlangsung pada pukul 4 petang.
[INFOGRAFIK] Kronologi perdebatan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat
"Tentunya mesyuarat tergempar ini (adalah) untuk membincangkan isu politik terkini. Antaranya hal kenyataan media Istana Negara, warkah Yang di-Pertuan Agong dan juga isu darurat, ordinannya serta penangguhan sidang Parlimen," katanya.
Sabtu lepas Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin dalam kenyataan memaklumkan bahawa Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada Isnin ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
-- BERNAMA