MIC ubah cara berpolitik, kekal relevan - Subramaniam
Bernama
Mei 24, 2018 16:40 MYT
Mei 24, 2018 16:40 MYT
Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam akan menjelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan kepada anggotanya untuk mengubah cara berpolitik selaras dengan peranan Barisan Nasional (BN) selaku pembangkang ketika ini.
Beliau berkata perubahan itu perlu agar MIC dapat memainkan peranan sebagai pembangkang yang efektif selari dengan lanskap politik semasa bagi memastikan parti itu terus relevan dan diterima masyarakat India di negara ini.
"MIC kini berdepan cabaran politik yang amat besar yang menuntut perubahan dilakukan untuk membolehkan kita terus diterima," kata bekas Menteri Kesihatan itu ketika ditemui selepas majlis serah terima tugas kepada Menteri Kesihatan baharu Dr Dzulkefly Ahmad di sini hari ini.
Subramaniam tewas dalam usahanya mempertahankan kerusi Parlimen Segamat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan telah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Oktober depan.
Beliau membuat keputusan tersebut rentetan kekalahan teruk parti komponen BN itu dalam PRU14 yang menyaksikan parti kaum India itu hanya memenangi dua daripada sembilan kerusi Parlimen yang ditandingi.
-- BERNAMA