MIC tidak bertanding pada PRN bulan depan
Bernama
Julai 5, 2023 18:35 MYT
Julai 5, 2023 18:35 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas MCA, kini MIC turut mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.
Setiausaha Agung MIC RT. Rajasekaran dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang berlangsung pada 30 Jun lepas setelah meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli CWC.
"Keputusan parti MIC untuk tidak bertanding pada PRN yang akan datang dibuat semata-mata untuk melindungi kepentingan parti MIC. Pada masa ini, MIC akan memberi lebih perhatian kepada proses untuk membina struktur parti yang lebih mantap bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak," katanya.
Bagaimanapun, parti kaum India itu berjanji akan melaksanakan peranannya sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) dan keputusan parti telah pun dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Kerajaan Perpaduan.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan secara serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.
-- BERNAMA