MIC terima keputusan ROS sekiranya pemilihan semula parti perlu diadakan

Bernama
Oktober 10, 2014 08:45 MYT
PALANIVEL: MIC akan turut keputusan ROS sama ada perlunya pemilihan parti atau tidak.
MIC akan menerima keputusan siasatan Pertubuhan Pendaftar (ROS) berhubung dakwaan segelintir anggota parti yang mendakwa wujud salah laku dan penyalahgunaan kuasa semasa pemilihan parti tahun lepas, kata Presidennya Datuk Seri G.Palanivel.
Beliau berkata ini termasuk mengadakan semula pemilihan parti bagi menggantikan pemilihan di Melaka pada 30 November 2013.
"Ia terpulang kepada ROS, mereka yang sedang menyiasat kes itu. Jadi ROS akan putuskan sama ada perlunya pemilihan parti atau tidak. Kita (MIC) akan ikut keputusan mereka," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu, di ibu pejabat MIC, di sini pada Khamis.
Bekas Ketua Pemuda MIC, Datuk T. Mohan beserta anggota MIC dilaporkan telah mengemukakan aduan rasmi kepada ROS pada 10 Januari lalu dengan memberi sebab mengapa pemilihan semula perlu diadakan.
Sebelum itu, Mohan juga telah mengemukakan memorandum kepada Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dengan mendakwa berlaku penipuan dan penyalahgunaan kuasa dalam pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti.
Pemilihan MIC tahun lalu telah menyaksikan pertandingan lapan pemimpin kanan bagi merebut tiga jawatan naib presiden, manakala 88 calon merebut 23 kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) termasuk dua calon wanita.
Seramai 1,452 perwakilan terlibat dalam pemilihan itu untuk memilih barisan kepimpinan MIC baharu bagi penggal 2013-2016.
Baru-baru ini Mohan juga mendakwa bahawa ROS sudah menamatkan siasatannya terhadap dakwaan salah laku dalam pemilihan MIC itu dan penemuan siasatan dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar mahukan Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC menguatkan sayap masing-masing dengan menumpukan terhadap isu ekonomi, pendidikan, pertanian, sekaligus memastikan anggotanya didaftarkan sebagai pengundi berdaftar.
Palanivel juga menegaskan, selepas ini hanya kuil yang mengemukakan laporan kewangan lengkap akan diberikan peruntukan dan beliau mendakwa kebanyakan kuil gagal berbuat demikian.
#Datuk Seri G.Palanivel #MIC #Pertubuhan Pendaftar (ROS)
;