'MIC tentukan kawasan bertanding dahulu sebelum calon' - Subramaniam

Wan Syamsul Amly
Oktober 15, 2016 18:00 MYT
Menurut Subramaniam, walaupun kebanyakan calon sudah dikenal pasti, ia tetap bergantung kepada keputusan akhir oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN). - Foto Bernama
MIC mahu menentukan kawasan mana yang akan ditandingi sebelum menentukan calon sesuai pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, walaupun kebanyakan calon sudah dikenal pasti, ia tetap bergantung kepada keputusan akhir oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN).
"Perubahan keputusan akhir juga menyebabkan MIC tidak bertanding pada beberapa kerusi tradisi kita pada PRU lepas.
"Kita akan bawa ke pandangan BN. Kita kena selesaikan itu itu dahulu, secara kasar kita tahu siapa calon-calonnya tetapi semuanya akan ditentukan selepas kerusi diputuskan nanti," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC di sini hari ini.
Antara kerusi Parlimen yang ditandingi MIC pada PRU ke-13 adalah di Cameron Highlands (Datuk Seri G.Palanivel), Segamat (Datuk Seri Dr S. Subramaniam), Sungai Siput (Datuk S.K Devamany) dan Tapah (Datuk M. Saravanan).
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak akan ditangguhkan sehingga 2018.
Dalam perkembangan berasingan, Subramaniam menjelaskan kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak memungkinkan ahli MIC berpaling kepada parti baharu itu.
Katanya, parti itu dilihat akhirnya hanya menerima sokongan pembangkang selain tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada BN.
Pada Khamis, bekas Senator Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor menyatakan keyakinan kepada PPBM yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, PPBM mampu membawa impak besar dalam perjuangan melawan rasuah di negara ini.
#Barisan Nasional #BN #calon pilihan raya umum #MIC #PRU-14 #S. Subramaniam
;