MIC Perak rayu Najib ambil tindakan segera

Astro Awani
Februari 10, 2016 08:20 MYT
Elango (tengah) pada sidang media di pejabat MIC Perak, Selasa. MIC Perak menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Presiden parti untuk terus meneraju parti dalam merealisasikan dan memajukan masyarakat India. - Gambar Bernama
Badan perhubungan MIC Perak menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri S.Subramaniam sebagai Presiden MIC.
Menurut mereka, Subramaniam telah dipilih selepas selesai segala proses undang-undang.
Pengerusi MIC Perak, Datuk V. Elango berkata tidak wajar pihak lain, khususnya pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh ahli MIC sendiri.
Jelasnya, ia boleh menjejaskan perpaduan BN, lebih-lebih lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum yang ke-14 (PRU14).
Sehubungan itu, Elango meminta pemimpin parti-parti komponen BN supaya berhati-hati dan mengambil kira perasaan rakan-rakan komponen sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Saya menyeru dengan hati yang ikhlas, bagi pihak MIC negeri Perak, seluruh kepimpinan, ahli-ahli negeri Perak menyeru kepada pucuk pimpinan BN iaitu pengerusi BN selaku Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak supaya memberi garis panduan yang tegas kepada semua komponen, pemimpin BN dan juga rakan-rakan BN supaya berwaspada, berhati-hati, bertanggungjawab semasa mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengganggu-gugat perpaduan BN," katanya.
Elango yakin, lebih 7,300 cawangan MIC di seluruh negara menyokong penuh kepimpinan Subramanian yang dipilih di dalam pemilihan pada Oktober tahun lalu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemimpin dan ahli MIC akar umbi supaya jangan mendengar cerita-cerita palsu yang dibuat oleh pemimpin yang disifatkannya tidak bertanggungjawab.
#Badan perhubungan MIC Perak menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri S.Subramaniam sebagai Presiden MIC #Barisan Nasional #PRU14 #V.Elango
;