MIC mahu kerjasama BN-PH diputuskan secara konsensus

Bernama
Januari 15, 2023 20:22 MYT
Presiden MIC Tan Sri S.A Vigneswaran berkata walaupun pada ketika ini masih belum ada sebarang perbincangan tentang perkara itu, MIC mahu ia dibincangkan dan tidak menjadi keputusan sesetengah pihak sahaja. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: MIC berharap sebarang keputusan berhubung kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN), dilakukan secara konsensus antara parti komponen BN.
Presiden MIC Tan Sri S.A Vigneswaran berkata walaupun pada ketika ini masih belum ada sebarang perbincangan tentang perkara itu, MIC mahu ia dibincangkan dan tidak menjadi keputusan sesetengah pihak sahaja.
Apabila ditanya tentang kebolehlaksanaan kerjasama itu khususnya di Selangor, Vigneswaran berkata: "Sekarang apa juga boleh dilaksanakan di Malaysia. Semua boleh dilaksanakan. Yang kita cakap tidak boleh sebelum ini, sekarang sudah boleh terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke-15."
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Hari Ponggal di Ibu Pejabat MIC, di sini hari ini.
Cadangan kerjasama antara BN dan PH bagi menghadapi PRN itu, sebelum ini pernah disuarakan beberapa pemimpin PH antaranya Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli serta Pengerusi PH Selangor yang juga Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Masing-masing berpendapat jika PH dan BN bekerjasama pada PRN Selangor, kedua-duanya berpotensi memenangi sebahagian besar kerusi di negeri itu.
Pada majlis hari ini, Vigneswaran dan Timbalannya Datuk Seri M. Saravanan bersama kira-kira 50 ahli parti MIC menyambut Hari Ponggal secara sederhana.
Ponggal secara tradisi disambut masyarakat India pada pertengahan Januari sebagai simbolik bermulanya musim menuai dan tanda kesyukuran atas hasil tuaian serta kekayaan harta benda.
-- BERNAMA
#MIC #Presiden MIC S A Vigneswaran #BN dan PH #PRN
;