MIC lwn RoS: Jumaat ini mahkamah putuskan permohonan kebenaran
Bernama
Mac 16, 2015 21:09 MYT
Mac 16, 2015 21:09 MYT
Mahkamah Tinggi menetapkan Jumaat ini untuk memutuskan sama ada akan membenarkan atau menolak bantahan awal Pendaftar Pertubuhan (RoS) terhadap permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman difailkan beberapa pemimpin MIC berhubung arahan supaya parti itu mengadakan pemilihan semula.
Sekiranya mahkamah membenarkan bantahan itu, ia tidak akan mendengar dua permohonan bagi kebenaran itu.
Hakim Datuk Asmabi Mohamad menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas mendengar hujahan dikemukakan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan, mewakili RoS, dan peguam B. Jadadish Chandra, mewakili beberapa pemimpin MIC termasuk presiden Datuk Seri G. Palanivel.
Dua permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu difailkan secara berasingan. Permohonan pertama difailkan pada 23 Feb oleh anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC A. K. Ramalingam, 47, yang menamakan RoS dan Ketua Pengarahnya Mohammad Razin Abdullah, sebagai responden.
Pada 24 Feb, Palanivel, dua naib presiden Datuk S. Sothinathan dan Datuk S. Balakrishnan dan bekas setiausaha agung A. Prakash Rao memfailkan permohonan kedua, menamakan ROS dan Menteri Dalam Negeri masing-masing sebagai responden pertama dan responden kedua.
Semasa ditanya alasan bagi bantahan itu, Suzana memberitahu pemberita, pemohon masih belum lagi kehabisan remedi statutori di bawah Akta Pertubuhan 1966, kuasa RoS di bawah Seksyen 16 akta itu tidak tertakluk bagi semakan dan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayani permohonan mengikut klausa penyingkiran ditetapkan dalam Seksyen 18C akta itu.
Klausa penyingkiran mencegah mahkamah daripada mendengar perkara yang mempersoalkan keputusan dibuat oleh parti politik.
Mahkamah juga membenarkan permohonan bekas Ketua Pemuda MIC Senator Datuk S.A. Vigneswaran untuk menjadi pencelah dalam permohonan semakan kehakiman itu.
Peguam mewakili Vigneswaran, Datuk David Gurupatham, memberitahu pemberita anak guamnya mempunyai kepentingan langsung untuk mencelah dalam prosiding itu kerana beliau ialah pengadu (yang membuat laporan kepada RoS).
Dalam permohonan itu, Palanivel, Sothinathan, Balakrishnan dan Prakash Rao memohon, antara lain, satu pengisytiharan bahawa perkara berkaitan dengan pemilihan parti tertakluk oleh perlembagaan parti dan tidak boleh berasaskan pendapat RoS.
Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa keputusan mesyuarat agung tahunan MIC yang diadakan pada 30 Nov, 2013, adalah sah dan berkuat kuasa.
Keempat-empat pemohon itu juga memohon injunksi sementara untuk menghalang kedua-dua responden daripada mengambil sebarang tindakan terhadap MIC atau mengeluarkan arahan kepada parti itu sehingga permohonan semakan kehakiman itu selesai.
Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa keputusan mesyuarat agung tahunan MIC yang diadakan pada 30 Nov, 2013, adalah sah dan berkuat kuasa.
Keempat-empat pemohon itu juga memohon injunksi sementara untuk menghalang kedua-dua responden daripada mengambil sebarang tindakan terhadap MIC atau mengeluarkan arahan kepada parti itu sehingga permohonan semakan kehakiman itu selesai.