MIC ketengah lebih ramai calon muda pada PRU14 - Dr Subramaniam

Bernama
November 13, 2017 11:52 MYT
MIC akan mengetengahkan lebih ramai pemimpin muda sebagai calon parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Presiden parti, Datuk Seri Dr S. Subramaniam. -Gambar Fail
MIC akan mengetengahkan lebih ramai pemimpin muda sebagai calon parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Presiden parti, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata MIC juga sudah menyerahkan senarai calon PRU14 kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diperhalusi.
"Selepas perdana menteri menentukan calon sesuai, senarai akhir akan kita serahkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk proses saringan. Untuk kali ini, kita ketengahkan ramai calon muda.
"Ini bermaksud bahawa BN mempunyai banyak pilihan pemimpin dan ada cukup calon untuk diangkat. Saya yakin dengan keputusan perdana menteri dan kepimpinan BN berkaitan hal ini," katanya kepada Bernama selepas Majlis Makan Malam Deepavali anjuran MIC Negeri Sembilan di sini, malam tadi.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Penerangan MIC Kebangsaan Datuk V.S. Mogan dan Pengerusi Badan Perhubungan MIC negeri Datuk L.Manickam.
Dalam pada itu, Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan yakin parti itu dapat menawan kembali dua kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Port Dickson dan Parlimen Teluk Kemang serta mempertahankan DUN Jeram Padang di negeri ini pada PRU14.
"Kita mensasarkan dapat meraih sokongan pengundi rakyat India di ketiga-tiga kawasan itu iaitu sebanyak 65 peratus. Saya yakin kita boleh menang terutamanya di DUN Port Dickson dan Parlimen Teluk Kemang kerana semua isu telah kami selesaikan baik dari segi isu rumah, sekolah dan kuil serta kita juga boleh menang di DUN Jeram Padang.
Ada juga timbul beberapa isu mengenai pemilihan calon sebelum ini namun apabila keputusan calon telah dibuat, saya yakin isu ini tidak akan berbangkit dan ahli parti akan berusaha menggerakkan jentera untuk menghadapi pilihan raya," katanya.
Di Negeri Sembilan, MIC hanya memenangi DUN Jeram Padang yang diwakili Manickam dengan majoriti 2,691 undi selain tewas di kerusi Port Dickson dan Teluk Kemang, kedua-duanya kepada PKR.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #Datuk Seri Dr S Subramaniam #Datuk Seri Najib Tun Razak #MIC #Perdana Menteri #Pilihan Raya Umum ke-14 #proses saringan #PRU14 #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
;