MIC kekal sebagai parti komponen BN - Vigneswaran

Bernama
Oktober 21, 2018 20:51 MYT
VIGNESWARAN: Perkara pertama yang kami perlu lakukan ialah memastikan semua parti komponen berada di landasan yang betul dahulu. - Gambar fail
MIC tetap kekal sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN), kata Presidennya Tan Sri S. A. Vigneswaran.
Beliau berkata walaupun BN bukan lagi parti pemerintah, kerjasama MIC sebagai parti komponen yang terjalin selama lebih 50 tahun akan terus kekal sehingga satu keputusan dibuat secara bersama dengan parti komponen BN yang lain.
"Kami ada isu yang perlu diselesaikan. Akan tetapi kami sudah bekerjasama lebih 50 tahun. Bukan hanya UMNO ada masalah, MCA dan MIC juga ada masalah.
"Perkara pertama yang kami perlu lakukan ialah memastikan semua parti (komponen) berada di landasan yang betul dahulu," kata Vigneswaran pada sidang media pengumuman keputusan pemilihan parti di ibu pejabat MIC, di sini, pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Presiden MCA Tan Sri Dr Chua Soi Lek yang menggesa kepimpinan MCA membawa parti itu keluar BN.
Malah, Dr Chua dilaporkan berkata itu perkara pertama yang akan dilakukannya jika beliau presiden parti.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #Chua Soi Lek #keluar BN #landasan yang betul #MCA #MIC #parti komponen #pemilihan #presiden #S A Vigneswaran #UMNO