ALOR GAJAH: MIC memberi jaminan akan membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu Disember ini.

Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran berkata ia sebagai komitmen parti itu yang menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Walaupun pengundi India tidak ramai (di Parlimen Kemaman), kita akan bantu (calon) Kerajaan Perpaduan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan MIC Negeri Melaka ke-77 yang turut dihadiri timbalannya Datuk Seri M. Saravanan dan Pengerusi MIC Melaka V.P. Shanmugam.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Kemaman pada 2 Dis ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 Nov dan 28 Nov.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

-- BERNAMA