Metodologi pilih calon PRK Kuala Kangsar, Sungai Besar wajar jadi acuan - Shahidan
Bernama
Jun 25, 2016 07:33 MYT
Jun 25, 2016 07:33 MYT
Metodologi pemilihan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kawasan Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar perlu dijadikan 'template' atau acuan untuk memilih calon Barisan Nasional (BN) pada masa akan datang.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata metodologi pemilihan calon pada PRK lepas nyata berjaya apabila BN mencapai kemenangan serta memperoleh majoriti yang lebih besar.
"Proses pemilihan calon untuk PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar sebelum ini memerlukan penilaian yang cukup tinggi kerana kita ingin memilih calon yang terbaik.
"Ia nyata berkesan dan metodologi ini wajar dijadikan 'template' pemilihan calon BN untuk masa depan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis berkata keputusan pemilihan calon perlu diletakkan sepenuhnya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Presiden lebih mengetahui siapa yang layak untuk dijadikan calon untuk parti berdasarkan penelitian serta keadaan yang berlaku ketika ini.
Kita tidak mahu keadaan di Perlis dahulu berulang di mana keputusan pemilihan calon dibuat di peringkat bawah seperti peringkat bahagian menyebabkan UMNO Perlis menjadi mangsa," katanya.
Pada PRK itu calon BN di Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi memperoleh 16,800 undi dengan majoriti 9,191 undi manakala calon BN di Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid mendapat 12,653 undi dengan majoriti 6,969 undi.