'Method' Anwar kawal pemimpin dari penjara punca PKR berpecah - Hishamuddin Rais

Hishamuddin Rais
September 4, 2017 20:00 MYT
Pada hemat penulis, apa yang wajib dilakukan oleh Saudara Anwar Ibrahim ialah menulis, berfikir, menulis dan berfikir. - Gambar fail
MERUJUK kepada apa yang sedang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang. Merujuk kepada wujudnya perbezaan pandangan antara beberapa sosok pimpinan PKR.
Perbezaan pendapat dalam parti politik, dalam NGO atau dalam apa sahaja badan atau persatuan adalah perkara biasa. Malah perbezaan pendapat wajib digalakkan untuk melahirkan percambahan pendapat.
Ini agak berbeza dari apa yang berlaku dalam PKR sekarang.
Perbezaan pendapat dan pandangan dalam PKR ini telah, sedang dan akan mengganggu Pakatan Harapan dalam saat dan masa yang amat kritikal - ketika menghadapi PRU14.
Pada hemat saya perbezaan pendapat ini berpunca dari cara dan pendekatan atau method Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim mengendali dan mengurus pimpinan.
Contohnya: Dalam satu perkara yang sama Anwar Ibrahim telah memberi pandangan, memberi arahan yang berbeza-beza dari satu sosok kepada yang lain.
Misalnya kepada Si Polan A Saudara Anwar telah memberi pandangan lain dari yang diberi kepada kepada Si Polan B. Dan agak berbeza juga dari yang diterima oleh Si Polan C.
Ini menimbulkan kekeliruan. Buktinya apa yang sedang berlaku sekarang dalam agenda memutuskan kerjasama PKR dengan Parti Islam PAS.
Cara atau method dan pendekatan memimpin seperti ini tidak baik. Ianya tidak melahirkan keputusan yang kompak dan tuntas. Hasilnya ialah cerai-berai.
Wajib disedari memenjarakan Anwar bertujuan menafikan PKR pimpinan dan buah fikir Anwar. Penjara telah memisahkan Anwar dari nadi fikrah rakyat yang sentiasa berubah dan bergerak setiap detik.
Penjara telah memustahilkan Anwar dari dapat membuat keputusan dan mengeluarkan pandangan tentang politik harian yang betul dan tepat.
Dalam penjara, Anwar tidak menerima semua pandangan dengan jelas. Dalam penjara maklumat sampai terputus-putus. Pengalaman dalam penjara membuktikan bahawa maklumat yang sampai bukan saja tidak tuntas malah ada kemungkinan dimasuki oleh "aji-no-moto".
Dalam penjara kita memiliki masa yang banyak. Justeru kita boleh membaca. Kita boleh menulis. Malah berangan-angan dan berkhayal dalam penjara bukan satu jenayah. Mengelamun dan bernostalgia juga boleh dilakukan tanpa gangguan dalam penjara.
Pada hemat saya apa yang wajib dilakukan oleh Anwar ialah menulis, berfikir, menulis dan berfikir.
Menulis dan berfikir tentang padangan dan teori dan falsafah politik yang wajib diajukan oleh dirinya kepada rakyat Malaysia.
Antonio Gramci seorang ahli Parlimen Parti Komunis Italy mengeluarkan Prison Notebooks - hasil dari penjara. Menjadi rujukan ilmu hinnga ke hari ini.
Tan Melaka dari Parti Komunis Indonesia melahirkan Madilog dan buku Dari Penjara Ke Penjara - hasil dari penjara. Menjadi rujukan ilmu hingga ke hari ini.
Nelson Mandela pula melahirkan Long Walk To Freedom - hasil dari penjara. Menjadi bacaan wajib untuk aktivis politik hingga ke hari ini.
Patriot dari Korea Selatan, Kim Chi Ha terus menulis puisi dari dalam penjara selepas 27 tahun dipenjara. Menjadi rujukan seni hingga ke hari ini.
Anwar wajib sedar tentang Julai, 2018. Pada hari itu, Anwar wajib telah bersedia dengan magnum opus dari dirinya untuk dihadiahkan kepada rakyat Malaysia pada Julai 2018.
Magnum opus Anwar ditunggu oleh rakyat. Rakyat tidak mahu lagi mendengar kisah dirinya disepak atau dirinya dihina.
Zaman kisah itu telah tamat.

*Hishamuddin Rais adalah seorang aktivis seni dan sosial.
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Anwar Ibrahim #Hishamuddin Rais #Pakatan Harapan #PKR
;