Mesyuarat tergempar: Lebih 100 pimpinan UMNO mula tiba di Menara Dato' Onn

Ridauddin Daud
Ogos 22, 2022 11:40 MYT
Khaled antara pemimpin UMNO yang dilihat hadir untuk mesyuarat tergempar di Menara Dato' Onn pagi ini. -Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Menara Dato' Onn di ibu kota sekali lagi menjadi perhatian hari ini.
Difahamkan, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijadual mengadakan mesyuarat tergempar dengan Ketua-Ketua Bahagian UMNO di Ibu Pejabat parti di sini bermula jam 11 pagi.
Menurut mesej yang didakwa dihantar Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pada jam 11 malam pada Ahad, pertemuan khas tersebut adalah berkenaan dengan masa depan parti tersebut.
Difahamkan lebih 100 pimpinan UMNO menghadiri mesyuarat tergempar ini.
Antara pemimpin yang sempat ditemui ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang tiba sebentar tadi di Menara Dato' Onn.
Kedua-duanya hanya mengunci mulut ketika ditanya intipati mesyuarat pada hari ini.
Media difahamkan mesyuarat berlangsung kira-kira jam 11 pagi dan selepas itu tidak pasti sama ada akan diadakan sidang media atau tidak.
Sehingga kini, masih belum dipastikan isi mesyuarat, namun khabar angin mendakwa ia mungkin berkaitan tarikh pilihan raya.
Astro AWANI akan terus berada di Menara Dato' Onn untuk membawakan perkembangan dari semasa ke semasa.
#UMNO #Menara Dato' Onn #tarikh pilihan raya #Mesyuarat tergempar
;