Mesyuarat SPR berlangsung bincang urusan PRK DUN Mahkota

Bernama
Ogos 13, 2024 11:30 MYT
Mesyuarat yang dipengerusikan Ramlan (gambar) antaranya bagi menentukan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain. - Gambar fail Bernama
PUTRAJAYA: Mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan urusan dan tarikh-tarikh penting untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor sedang berlangsung di Menara SPR di sini.
Mesyuarat dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun bermula 10 pagi itu, antaranya bagi menentukan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain.
Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom dan Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak.
SPR akan mengadakan sidang media selepas mesyuarat itu.
Pada 4 Ogos, Ikmalrudin memaklumkan mesyuarat khas itu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi, mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Mahkota berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos.
Ahli Dewan Undangan Negeri Mahkota Sharifah Azizah, 63, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon Barisan Nasional menang kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi. - BERNAMA
#PRK Mahkota #DUN Mahkota #Suruhanjaya Pilihan Raya #Sharifah Azizah Syed Zain
;