Mesyuarat MT UMNO: 'Tolong jangan pecat dia' - Penyokong Muhyiddin
Wan Syamsul Amly, Rahimah Abdullah, Hilal Azmi
September 9, 2015 17:06 MYT
September 9, 2015 17:06 MYT
Penyokong Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dikatakan sudah tiba di ibu kota sejak Selasa untuk memberi suntikan semangat kepada pemimpin mereka pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang sedang berlangsung.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, kebanyakan mereka menginap di beberapa hotel bajet di sekitar PWTC semata-mata untuk bersama penyokong lain dan berhimpun di Menara Dato Onn.
Seorang penyokong Muhyiddin yang hanya mahu dikenali dengan nama Salim berkata, dia bersama beberapa orang kawan menaiki bas dari Pagoh untuk memberi sokongan kepada pemimpin mereka.
"Pakcik datang jauh-jauh, banyak sangat dengar cerita Muhyiddin akan diambil tindakan, harapnya semua itu tidak betul.
"Dia sudah tidak menjadi Timbalan Perdana Menteri, kenapa hendak dilucut jawatan Timbalan Presiden UMNO pula?" katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin sendiri mengatakan tidak akan berlaku sebarang pemecatan hari ini malah mengakui ia tidak pernah dibincangkan dan hanya khabar angin semata-mata.
Dalam pada itu kata Salim, kerisauannya terhadap isu pemecatan Muhyiddin sudah mula sejak digugurkan dari Kabinet.
"Semasa itu pakcik tertanya-tanya, adakah ada lagi hukuman yang akan diterima Muhyiddin.
"UMNO harus mengenang jasanya selama ini dalam parti. Dia juga merupakan ikon pemimpin bagi negeri Johor sendiri," jelasnya.
Terdahulu, kira-kira 200 penyokong Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz berkumpul di hadapan Menara Dato Onn untuk menyatakan sokongan terhadap pemimpin mereka sebelum mesyuarat bermula.
Mesyuarat dijangka selesai sebelum pukul 7 malam.