Mesyuarat MT UMNO: Tanggapan ada pihak akan digugurkan perlu diketepi - Penganalisis

Nursyazwani Saiful Sham
Oktober 29, 2020 07:17 MYT
Jemaah kabinet yang mewakili UMNO diharap dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dalam menyuarakan agenda rakyat. -Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Segala tanggapan bahawa ada pihak yang akan digugurkan perlu diketepi.
Sebaliknya, menurut Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian, jemaah Kabinet yang mewakili UMNO diharap dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dalam menyuarakan agenda rakyat.
“Keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO menunjukkan bahawa kepimpinan MT UMNO berharap mereka berada dalam Kabinet untuk terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam agenda rakyat dan mengetepikan apa saja ramalan yang beranggapan ada yang digugurkan.
“Mereka sepatutnya bertindak sebagai satu pasukan dalam Kabinet dan pastikan ia dilaksana sebaik mungkin yang mempunyai kaitan dengan keputusan untuk Belanjawan 2021.
“Agenda itu juga mungkin dalam perbincangan MT UMNO malam tadi termasuk perihal moratorium.
"Dan perkara itu semua barangkali mahu dibawakan oleh Kabinet kepada pihak berwajib,” katanya ketika dihubungi sebagai mengulas kenyataan media oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis malam.
BACA: UMNO mahu pilihan raya umum selepas COVID-19 terkawal
Dalam pada itu, jelasnya, keputusan UMNO untuk kembalikan mandat rakyat dengan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) selepas pandemik COVID-19 dapat dikawal dilihat dapat merungkai polemik yang berlaku ketika ini.
Jelasnya, keputusan tersebut dicapai berkemungkinan juga untuk mencari keputusan yang hakiki bersama parti-parti lain.
“Barangkali bagi UMNO mereka merasakan bahawa jika keadaan reda harus diberikan keutamaan supaya mandat rakyat dikembalikan agar dapat menghentikan polemik yang berterusan ini.
“Mungkin juga itu pilihan yang ada ketika ini, dan barangkali itu juga dianggap dapat merungkai apa yang berlaku kini yang dirasakan sukar untuk mencari keputusan yang hakiki bersama anggota parti-parti lain,” jelasnya.
Zahid dalam satu kenyataan UMNO sekali lagi mengulangi pendirian bahawa parti Melayu itu dengan jelas menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk memastikan pentadbiran negara diurus dengan baik berpandukan Perlembagaan negara.
Terdahulu, mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang diadakan di Menara Dato Onn selesai selepas empat jam bermesyuarat.
BACA: UMNO kekal junjung titah Agong, beriltizam jaga kebajikan rakyat
#Zahid Hamidi #UMNO #Yang di-Pertuan Agong #COVID-19 #penganalisis politik #Prof Dr Sivamurugan Pandian #pilihan raya umum #pandemik #majlis tertinggi
;