Mesyuarat MP BN: Hishammuddin, Mastura tolak cadangan sokong Anwar
Firdaus Azil
Oktober 26, 2020 18:44 MYT
Oktober 26, 2020 18:44 MYT
KUALA LUMPUR: Cadangan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri seterusnya, disahkan telah dibangkitkan oleh seorang Ahli Parlimen yang menyertai perjumpaan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Seorang sumber memberitahu Astro AWANI bahawa Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein antara yang menentang cadangan itu.
“Beliau (Hishammuddin) berkeras dengan pendiriannya dan menolak agar UMNO dan BN menyokong Anwar,” kata sumber itu ringkas.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid dalam catatan terbaharu di Facebooknya berkata, beliau adalah orang UMNO yang berpegang teguh kepada perjuangan AaBaTa (Agama, Bangsa, dan Tanah Air) yang menjadi prinsip parti itu selama ini.
“Demi perjuangan ini, saya tidak akan menyokong DSAI (Anwar Ibrahim) dan DAP,” tulisnya ringkas.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan, ada antara kalangan Ahli Parlimen BN yang membangkitkan cadangan agar Anwar disokong sebagai Perdana Menteri, dedah seorang daripada mereka yang menyertai perjumpaan dengan Ahmad Zahid pada Isnin.
Bagaimanapun, sumber berkenaan berkata, jika ada sebarang perbincangan dengan Pengerusi Pakatan Harapan itu, ia sama sekali tidak boleh melibatkan penyertaan DAP.
Kata sumber itu lagi, UMNO dan BN tetap berpegang pada prinsip “No DAP” jika ingin mencari jalan keluar dari kemelut politik sedang melanda negara ketika ini.
Ketika diminta mengulas mengenai identiti Ahli Parlimen itu, Mastura berkata, media perlu mendapatkan penjelasan daripada individu itu sendiri.
“Perlu bertanya kepada individu tersebut. Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam ini amat penting. Pendirian saya adalah saya tidak menyokong DSAI (Anwar Ibrahim) dan saya tidak menyokong DAP.
Ditanya sama ada individu itu adalah pemimpin kanan BN, Mastura berkata: “Maafkan saya. Saya tak dapat nak menamakan individu tersebut di atas menghormati kerahsiaan perjumpaan hari ini.”
#Hishammuddin Hussein
#Mastura Mohd Yazid
#Sembrong
#Kuala Kangsar
#Anwar Ibrahim
#Perdana Menteri
#Barisan Nasional
#UMNO
#Ahmad Zahid Hamidi
#Astro Awani
#Pakatan Harapan
#majlis tertinggi
#Parlimen
#politik