Mesyuarat MKT UMNO: Keputusan bukan untuk kepentingan pihak tertentu - KB Beruas

Astro Awani
Julai 7, 2021 11:52 MYT
AZHAR: Keputusan MKT adalah yang menyenangkan dan membahagiakan rakyat, dan paling penting, aspirasi daripada rakyat yang berbilang kaum. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Keputusan yang bakal dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini perlu melambangkan keputusan rakyat dan bukan kepentingan mana-mana pihak.
Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Azhar Ahmad berkata, ia seharusnya mempunyai pendekatan silaturrahim dan menguatkan organisasi secara keseluruhan.
"Kena ada pendekatan silaturrahim. Mana-mana organisasi, jika tidak ada silaturrahim yang baik akan hancur. Jadi kekuatan kita hanya bersatu untuk kuat.
"Mesyuarat kita malam ini, keputusan MKT ini keputusan tertinggi, sebagai ahli parti kita kena akur, tetapi biarlah keputusan MKT ini melambangkan keputusan rakyat dan keputusan negara, bukan keputusan yang berasaskan kepentingan mana-mana puak dan individu.
"Jadi keputusan parti ini adalah yang menyenangkan dan membahagiakan rakyat dan paling penting aspirasi daripada rakyat yang berbilang kaum, inilah MKT," katanya semasa dihubungi hari ini.
BACA: Sabar! Bukan masa sesuai tukar kerajaan - Penganalisis
BACA: Keluar atau kekal dalam kerajaan? MT UMNO bersidang secara maya esok - Sumber
MKT UMNO dijadualkan mengadakan mesyuarat malam ini dan antara dijangka menjawab khabar angin parti itu yang mahu meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurut sumber dalaman UMNO, mesyuarat yang akan diadakan secara maya itu dijangka memberi tumpuan kepada usaha-usaha membawa keluar UMNO dari PN bagi membolehkan sebuah kerajaan baharu dibentuk.
Dalam pada itu kata Azhar, semua ahli perlu mengikut keputusan yang sudah ditetapkan pada Perhimpunan Agung UMNO lalu selain MKT sendiri.
Ujarnya, ahli perlu akur keputusan MKT atau meninggalkan parti jika tidak bersetuju dengan sebarang kata putus yang akan dicapai kelak.
Sebelum ini, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir berpendapat, menumbangkan kerajaan ketika tempoh kritikal ini tidak akan menjamin bahawa krisis politik yang melanda negara boleh diselesaikan secara tuntas.
Sebaliknya jelas Jeniri, ia hanya akan membelakangkan rakyat yang sedang bergelut dengan COVID-19 serta ekonomi yang terancam.
#UMNO #ekonomi #COVID-19 #khabar angin #PN #mkt #PRU #mesyuarat #krisis politik #Azhar Ahmad
;