Mesyuarat Majlis Presiden PH: Tun M, Shafie Apdal tiba di ibu pejabat PKR
Isabelle Leong
Jun 9, 2020 15:12 MYT
Jun 9, 2020 15:12 MYT
Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di ibu pejabat PKR bagi menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Beliau tiba pada pukul 2.50 petang bersama-sama anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Parlimen Jerlun dan Senator Datuk Wira Marzuki Yahya.
Terdahulu, sekitar jam 2.38 petang, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang tiba di ibu pejabat PKR disusuli ketibaan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 2:48pm.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu juga sudah tiba dan mesyuarat tersebut difahamkan telah bermula.
Bagaimanapun, intipati mesyuarat tersebut masih belum diketahui.
Sebelum ini, sumber dalaman PH, Dr Mahathir dan difahamkan akan memuktamadkan usaha Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan yang kini diterajui Perikatan Nasional (PN).
Spekulasi PH cuba untuk mengambil alih kerajaan yang diterajui PN bertiup kencang sejak beberapa minggu yang lalu.
Namun sehingga kini, difahamkan masih belum ada penyelesaian tentang siapa akan menjadi Perdana Menteri sekiranya PH kembali membentuk kerajaan.
Minggu lepas tersebar gambar pertemuan pemimpin Amanah, DAP dan Warisan bersama Dr Mahathir namun tidak disertai oleh mana-mana pemimpin PKR.
Ia menguatkan hujah bahawa PH gagal mencapai kata sepakat untuk memilih calon Perdana Menteri jika berjaya mengambil-alih kerajaan.
Astro AWANI sedang mengikuti perkembangan mesyuarat tertutup ini secara rapat.
#Anwar Ibrahim
#DAP
#kerajaan
#Langkawi
#Mahathir Mohamad
#Mohamad Sabu
#Mohd Shafie Apdal
#Mukhriz Mahathir
#Pakatan Harapan
#PKR