Mesyuarat Majlis Presiden PH: Semua pemimpin kunci mulut, enggan dedah perincian

Isabelle Leong
Jun 9, 2020 19:28 MYT
Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad enggan mendedahkan sebarang perincian. - Astro AWANI/Shahir Omar
Semua pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH mengunci mulut mengenai mesyuarat yang berlangsung di Ibu Pejabat PKR.
Apabila ditanya mengenai perincian mesyuarat tersebut, Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad enggan mendedahkan sebarang perincian.
Beliau diikuti Senator Datuk Wira Marzuki Yahya, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah, Mohammad Sabu yang dilihat meninggalkan ibu pejabat di Petaling Jaya ini pada sekitar 6:15 petang.
Bagaimanapun, satu kenyataan bersama Pakatan Harapan, Bersatu dan Warisan yang dikeluarkan sejurus mesyuarat tersebut berakhir mengatakan bahawa mesyuarat yang dipengerusikan Anwar itu menyaksikan perbincangan secara menyeluruh tentang pendirian setiap parti dan menampakkan kemajuan yang amat positif.
Menurut kenyataan itu lagi, proses memuktamadkan segala keputusan akan dilakukan dalam masa seminggu ini.
Mesyuarat tergempar tersebut berlangsung selama tiga jam sejak 3 petang.
Sebelum ini, sumber dalaman PH mendedahkan bahawa Dr Mahathir dan Anwar difahamkan akan memuktamadkan usaha Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan yang kini diterajui Perikatan Nasional (PN).
Spekulasi PH cuba untuk mengambil alih kerajaan yang diterajui PN bertiup kencang sejak beberapa minggu yang lalu.
#Anwar Ibrahim #Bersatu #ibu pejabat pkr #Mahathir Mohamad #majluis presiden ph #Pakatan Harapan #PKR #politik #Warisan
;