Mesyuarat khas SPR bagi urusan PRK DUN Ayer Kuning pada 7 Mac

Bernama
Februari 28, 2025 18:20 MYT
Ikmalrudin berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN berkenaan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak pada 7 Mac ini.

Ringkasan AI
  • Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Mac untuk urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning, Perak, susulan kekosongan kerusi akibat kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin.
  • Kekosongan luar jangka kerusi DUN Ayer Kuning perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan disahkan oleh SPR, seperti yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak.
  • Ishsam Shahruddin, penyandang kerusi DUN Ayer Kuning dan Ketua UMNO Bahagian Tapah, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari selepas menyertai kejohanan bola sepak.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata suruhanjaya itu telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN berkenaan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas.
"Sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara XXXVI (5), Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, kekosongan luar jangka berkenaan hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR kekosongan berkenaan telah berlaku," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas itu.
Ishsam, 59, meninggal dunia disebabkan serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang pada Sabtu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Nov 2022, Allahyarham yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi DUN berkenaan dengan majoriti 2,213 undi dalam saingan lima penjuru.
-- BERNAMA
#mesyuarat khas SPR #PRK Ayer Kuning #Ikmalrudin Ishak #kematian Ishsam Shahruddin #terkini
;