KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mengumumkan akan mempengerusikan satu mesyuarat khas jemaah menteri yang baharu dibentuk pada Isnin.

Menurut Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abdul Muis, empat perkara dijangka menjadi agenda pertemuan tersebut berkaitan dengan penetapan peraturan baharu kepada seluruh jemaah menteri dalam mengurus kementerian masing-masing.

Kerajaan Perpaduan | Mesyuarat Kabinet Khas pada Isnin


Pertama, ialah cara setiap menteri mengurus kementerian masing-masing. Kedua, tatacara dan tatakelola mendampingi dan bekerjasama dengan penjawat awam. Ketiga, prosedur menteri membuat pengumuman berkaitan dasar-dasar kerajaan secara kolektif dan keempat, tatacara perbelanjaan baharu anggota jemaah menteri.

DIARI 100 HARI KABINET KERAJAAN PERPADUAN PM ANWAR IBRAHIM

Selain itu menurut Mujibu, mesyuarat ini juga dijangka akan dimanfaatkan oleh Perdana Menteri untuk menjelaskan satu kerangka dan struktur yang tetap untuk dipatuhi oleh ahli Kabinet. Seterusnya dengan pematuhan itu, kerjasama erat antara mereka, dan ketetapan-ketetapan lain berkembang daripada mesyuarat tersebut akan membantu jemaah menteri berkhidmat dengan lebih fokus kepada kementerian dan portfolio masing-masing.

Oleh yang demikian katanya, sesi bertentang mata di meja yang sama antara anggota Kabinet yang datang daripada parti-parti politik yang berbeza ini akan menentukan keampuhan kekuatan yang digembleng. Justeru, persona Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi  faktor penentu.

Pantau Kerajaan Baharu | Penentuan hala tuju dan keutamaan Kerajaan Perpaduan



"Kekuatan dan karisma Perdana Menteri itu sendiri dalam memastikan Kabinet yang berkerja di bawah beliau itu mampu untuk mematuhi dan mengikuti arahan dan ketetapan yang dipersetujui bersama.

"Dan kedua, bagaimana menteri-menteri Kabinet ini, di sebalik mereka adalah parti-parti yang berseteru mesti sentiasa diperingatkan bahawa sebagai Kabinet, prinsip collective responsibility itu, atau tanggungjawab kolektif mereka itu bukan sahaja kepada kementerian tetapi juga sebagai satu unit, sebagai Kabinet. Mereka itu mesti boleh bergerak sebagai satu pasukan." ujar Mujibu ketika ditemu bual dalam program Pantau Kerajaan Baharu terbitan Astro AWANI.

Tambahnya, Kerajaan juga diharap akan menumpukan kepada isu berkepentingan awam. Bukannya mengikuti amalan pentadbiran sebelum ini yang memperkenalkan jenama kerajaan yang disifatkannya sebagai hanya retorik politik.