Mesyuarat dijangka bincang isu peruntukan ahli Parlimen pembangkang petang ini
Sinar Harian
April 17, 2024 18:12 MYT
April 17, 2024 18:12 MYT
PUTRAJAYA: Kediaman rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana yang terletak di Presint 10, di sini menjadi tumpuan apabila Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan dijangka berlangsung petang ini.
Tinjauan pihak media mendapati kenderaan yang membawa pimpinan tertinggi parti dalam Kerajaan Perpaduan mula memasuki Kompleks Seri Perdana sejak jam 4.30 petang.
Difahamkan, antara yang telah hadir adalah Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mesyuarat berkenaan dijangka berlangsung jam 5.30 petang dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini Fadillah berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Ia susulan perjumpaan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dengannya di Parlimen pada 19 Mac lalu.
Perjumpaan itu membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. - Sinar Harian