Mesyuarat Dewan Tertinggi BN sedang berlangsung
Astro Awani
November 22, 2022 11:48 MYT
November 22, 2022 11:48 MYT
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) melibatkan pimpinan utama gabungan tersebut sedang berlangsung di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Selasa.
BN melalui siaran di Facebook rasmi pada Selasa memaklumkan bahawa mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Difahamkan pertemuan tersebut adalah bagi memuktamadkan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan BN dalam membentuk kerajaan Persekutuan.
Pertemuan itu adalah bagi menandatangani surat akuan bersumpah (SD) untuk menyatakan sokongan kepada Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10.
Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ketua-ketua parti politik yang mempunyai majoriti terbanyak mengemukakan gabungan baharu dan calon Perdana Menteri kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ketua-ketua parti yang memiliki majoriti terbanyak itu perlu memaklumkan perkara tersebut kepada Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun sebelum diserahkan kepada Istana Negara.
Beberapa pimpinan parti Barisan Nasional (BN) dilihat memasuki Menara Dato' Onn pada Selasa sejak jam 9.40 pagi.
Antara yang hadir adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup; Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon. -Sinar Harian