Mesyuarat DAP masih menanti ketibaan Lim Guan Eng
Hilmi Malik
Februari 24, 2020 13:21 MYT
Februari 24, 2020 13:21 MYT
Ahli-ahli DAP termasuk pimpinan tertinggi telah mula memenuhi ibu pejabat parti bagi mengadakan satu mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat yang dijadual berlangsung jam 12 tengah hari ini.
Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, mesyuarat masih belum bermula dan mereka masih lagi menunggu kehadiran Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng.
Mesyuarat tersebut dipercayai diadakan susulan perkembangan terkini politik negara berhubung kemungkinan terjadinya pertukaran dalam pakatan memerintah.
Terdahulu, beberapa pimpinan tertinggi DAP tiba di ibu pejabat itu bagi menghadiri mesyuarat, termasuk Lim Kit Siang, Nga Kor Ming, Gobind Singh Deo dan Hannah Yeoh.
Semalam, perkembangan politik tanahair menyaksikan beberapa pemimpin dari Bersatu, PKR, UMNO, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan Warisan.
Masing-masing mengadakan mesyuarat secara berasingan di ibu negara dan Petaling Jaya, membuatkan timbul spekulasi ia dipercayai ada kaitan dengan pengaturan semula landskap politik negara.
Ini ditambah kenderaan membawa puluhan pemimpin itu kelihatan memasuki kawasan Istana Negara pada sebelah petang semalam.
Desas-desus itu bertambah hangat pada sebelah malamnya apabila ada pemimpin dari Bersatu, PKR, UMNO, MCA, MIC dan PAS menghadiri satu majlis makan malam di sebuah hotel di sini.
#DAP
#Gobind Singh Deo
#ibu pejabat parti
#Jawatankuasa Eksekutif Pusat
#Lim Guan Eng
#Lim Kit Siang
#Mesyuarat tergempar
#Nga Kor Ming
#PKR