Mereka keluar solat bukan protes saya - Mat Sabu

Irwan Muhammad Zain
September 16, 2014 19:46 MYT
MAT SABU: Kumpulan tersebut meninggalkan dewan kerana mahu menunaikan solat asar - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menafikan tindakan sekumpulan Pemuda PAS meninggalkan dewan ketika beliau memulakan ucapan sebagai tanda protes.
Sebaliknya Mohamad berkata kumpulan tersebut meninggalkan dewan kerana mahu menunaikan solat asar.
"Kita mula dah lewat, masa saya nak berucap itu dah masuk waktu asar, jadi ada yang keluar untuk solat.
"Perkara macam itu saya tak anggap ia protes," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda PAS Malaysia di dewan Chon Moi, di sini, hari ini.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat sependapat dengan Mohamad dan menganggap ia bukan satu protes.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan sekumpulan 50 orang anggota Pemuda PAS Malaysia yang didakwa sebagai 'Pro Hadi' (kumpulan penyokong Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang) meninggalkan dewan muktamar sebaik saja Mohamad memulakan ucapan.
Kumpulan 50 orang penyokong Hadi itu dikatakan memakai vest yang bertulis "Kami menyokong Presiden dan Ulama".
Salah seorang ahli PAS yang memakai vest yang bertulis "Kami menyokong Presiden dan Ulama" - Astro AWANI / Shahir Omar
Astro AWANI mendapati sebahagian dari mereka masuk kembali ke dalam dewan selepas menunaikan solat asar.
#Mohamad Sabu #Muktamar Pemuda PAS Malaysia #nafi #pemuda #solat asar #Suhaizan Kaiat #tanda protes #Timbalan Presiden Pas
;