Menteri UMNO adakan pertemuan di sebuah hotel di Putrajaya?

Fareez Azman
Mac 25, 2022 12:57 MYT
Antara Menteri UMNO yang dilihat tiba di hotel terbabit, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.- Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Beberapa Menteri Kabinet daripada UMNO dilihat hadir di sebuah hotel di Putrajaya sebelum Mesyuarat Kabinet pada Jumaat.
Ia menimbulkan pelbagai teka-teki terutama selepas beberapa pemimpin utama UMNO sebelum ini memberi cadangan untuk pembubaran Parlimen dilakukan segera.
Lapor beberapa agensi berita, antara Menteri UMNO yang dilihat tiba di hotel terbabit, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique, Menteri Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Beberapa Menteri dilaporkan dilihat tiba seawal jam 8.00 pagi, dan ada juga yang dilihat meninggalkan perkarangan hotel berkenaan jam 9.50 pagi.
Bagaimanapun, tidak diketahui tujuan pertemuan itu diadakan.
Kerajaan ketika ini dianggotai 10 Menteri daripada UMNO selain Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Antaranya, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba.
#menteri #UMNO #pertemuan #hotel #Putrajaya
;