Menteri Pertahanan: Lonjakan baharu karier Tok Mat

Bernama
Disember 3, 2022 17:17 MYT
Mohamad yang lebih dikenali sebagai 'Tok Mat' mempunyai kewibawaan tersendiri, untuk menerajui portfolio baharu itu hasil pengalaman sepanjang 25 tahun kariernya sebagai ahli politik. - Gambar fail/ Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Menteri Pertahanan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan lonjakan baharu bagi kariernya dalam memperkukuhkan keselamatan negara.
Buat julung kalinya menyertai barisan kepimpinan tertinggi di peringkat Persekutuan, Mohamad yang lebih dikenali sebagai 'Tok Mat' mempunyai kewibawaan tersendiri, untuk menerajui portfolio baharu itu hasil pengalaman sepanjang 25 tahun kariernya sebagai ahli politik.
Tokoh korporat itu mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi, telah membuktikan keupayaanya dengan pembangunan serta kecemerlangan ketika mentadbir kerajaan Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar selama hampir 20 tahun sejak 2004.
DIARI 100 HARI KABINET KERAJAAN PERPADUAN PM ANWAR IBRAHIM
[LAPOR LANGSUNG] Senarai penuh Kabinet Kerajaan Perpaduan PM Anwar
Mohamad, 66, juga memiliki keperibadian yang tegas dan dilihat cukup penting dalam mendepani pelbagai cabaran keselamatan era moden ini serta ancaman COVID-19, meskipun negara telah beralih ke fasa peralihan endemik.
Antara pencapaian membanggakan Mohamad ialah pembangunan di Sendayan dengan terbinanya Pangkalan Udara (PU) Sendayan, di kawasan seluas 303.5 hektar yang menempatkan markas dan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak 2018.
Beliau juga bukan asing dalam arena politik negara, malah kelantangan beliau dalam memberikan pendapat berkaitan pembangunan negara, didengari pemimpin serta rakyat keseluruhannya.
Timbalan Presiden UMNO itu juga, membuat penampilan pertama bertanding di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini, turut meraih kemenangan selesa dengan majoriti 19,897 undi di Parlimen Rembau, meskipun berdepan saingan lima penjuru.
Berasal daripada Kampung Kundur Hilir, Rantau itu, Mohamad mempunyai seorang anak lelaki dan empat perempuan hasil perkahwinannya dengan Datin Seri Raja Salbiah Tunku Nujumuddin.
Bersandarkan potensi dan pengalaman luas dalam sektor kewangan dan perbankan, Mohamad pernah menjawat jawatan tertinggi dalam organisasi ternama seperti Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional, serta memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif, Cold Storage (M) Berhad.
Pengalaman luas dalam bidang korporat itu juga bertepatan dengan lantikan beliau dalam barisan Kabinet baharu.
-- BERNAMA
#Kabinet Baharu #Mohamad Hasan #Tok Mat #Menteri Pertahanan
;