Menteri Kabinet sudah jalankan tugas dengan baik - Pas
Astro Awani
Januari 12, 2022 16:17 MYT
Januari 12, 2022 16:17 MYT
KOTA BHARU: Pas menyifatkan kesemua menteri di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah menjalankan tugas masing masing.
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, sebaliknya, mempersoalkan apakah kayu pengukur prestasi yang digunakan sesetengah pihak yang mendakwa terdapat menteri yang tidak mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.
Sedangkan, jelas Mohd Amar, Perdana Menteri (PM) lebih tahu untuk menilai prestasi barisan Kabinet beliau dalam menjalankan tugas masing masing.
“Kita serah kepada PM…dia lebih kenal (menteri) dan apa hasrat PM. Dia lebih tahu, mungkin kita tengok sudut ini, tapi PM tengok sudut lain, KPI berlainan.
“PM lantik seseorang ada KPI dia nak, nak tukar atau tidak (itu) kuasa PM… saya tengok secara umumnya menteri-menteri kita sudah laksanakan tugas dia,” kata beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.
Mohd Amar berkata, sukar untuk menentukan pencapaian seseorang menteri dalam tempoh singkat kerana pentadbiran kerajaan pimpinan Ismail Sabri baru sahaja bermula.
Dengan pelbagai cabaran antaranya COVID-19, banjir dan sebagainya, kata Mohd Amar, perlu diambil kira yang menyebabkan ruang untuk mereka berperanan sangat terhad.
Tambah Mohd Amar, setiap perancangan kebiasaannya mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk melihat hasilnya.
Justeru, tegas beliau, tidak adil untuk melihat sesuatu keberhasilan itu dalam tempoh masa singkat.
Baru-baru ini tercetus kononnya Perdana Menteri akan melakukan rombakan Kabinet dengan mengugurkan beberapa menteri yang tidak menunjukkan prestasi yang baik atau mencapai kpi yang diharapkan.