Menteri jangan yakin boleh menang, rakyat tahu hidup sekarang susah - Rafizi

Madiha Abdullah
Ogos 21, 2022 08:00 MYT
Rafizi berkata, sentimen rakyat terhadap kerajaan berada pada paras terendah Julai lalu. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kerajaan diingatkan agar tidak terlalu yakin akan menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, sentimen rakyat terhadap kerajaan berada pada paras terendah Julai lalu dan PKR akan mengambil peluang itu untuk mendekati dan memperjelaskan agenda mereka.
"Katanya nak panggil pilihan raya apabila UMNO dan Barisan Nasional boleh menang, nampak gaya tahun depan pun tak dipanggil.
"Kalau tanya orang biasa, saya memang tiap-tiap bulan tengok sentimen orang suka atau tidak, orang okey atau tidak, sepanjang saya mula semak sentimen rakyat dari 2016, saya nak sebut dan maklumkan bahawa bulan Julai 2022 adalah sentimen yang paling rendah pandangan rakyat terhadap keadaan ekonomi.
"Zaman kerajaan Najib (Datuk Seri Najib Razak) jatuh pada Mei 2018, apabila kita tanya kepada pengundi-pengundi adakah anda berpuas hati dengan keadaan ekonomi sekarang, jawapannya 65 peratus kata tak puas hati, 35 peratus kata puas hati.
"Itulah terjemahan apabila mengundi, 65 peratus mengundi bukan UMNO dan Barisan Nasional dan UMNO Barisan Nasional dapat 35 peratus itu yang menyebabkan Najib kalah.
"Sekarang mereka kata nak kena tengok dulu keadaan di bawah sebelum nak jalankan pilihan raya. Jadi saya boleh sebut awal-awal, setakat 31 Julai 2022, soalan yang sama kita tanyakan adakah anda berpuas hati dengan sentimen keadaan ekonomi dan kehidupan anda sekarang, jawapannya hanya 20 peratus yang kata dia berpuas hati," katanya pada majlis Pelancaran Trak Ayuh Malaysia di ibu negara, pada Sabtu.
Jelasnya, dengan pelancaran trak berkenaan, beliau yakin dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan membantu merungkai segala isu dan kekeliruan yang timbul, sekali gus memberikan saingan hebat pada pilihan raya akan datang.
"Kita tak kata yang kita yakin boleh menang. Kita akui dahulu kita 'lemau'. Tetapi parti politik yang lain tak boleh yakin juga. UMNO kata mereka yakin sebab sudah menang di beberapa negeri. Tetapi itu yang mereka rasa. Yang rakyat rasakan, lain," ujarnya.
#Rafizi Ramli #pilihan raya umum #pilihan raya #Barisan Nasional #UMNO #PKR
;