Menteri Besar Perak yang baharu? Mengarut, kata Dr Mahathir
Bernama
Mac 16, 2019 14:19 MYT
Mac 16, 2019 14:19 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menepis khabar angin kononnya beliau merestui langkah menggantikan menteri besar Perak yang sedia ada, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
"Mengarut," kata Dr Mahathir yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) apabila diminta mengulas kenyataan seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari UMNO, kononnya beliau merestui seorang anggota exco sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.
Ketika ditemui pemberita selepas melancarkan program Ikon Remaja Wilayah Persekutuan di sini Dr Mahathir ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan Ahmad Faizal yang kelihatan sebagai menteri besar yang kontroversi.
Katanya: "Dia kelihatan kontroversi kerana ada orang yang hendak merebut jawatannya itu."
Dr Mahathir berkata, orang akan melihat orang lain sebagai kontroversi termasuk dirinya sendiri.
"Ada orang mahu menggantikan saya. Ini perkara biasa," katanya.
Mengenai Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian, Dr Mahathir berkata: "Pada hakikatnya kami mempunyai pandangan yang serupa.
"Tidak ada sebab untuk mengisytiharkan kecemasan atau panik di Pasir Gudang kerana kita tahu kita melakukan semua perkara yang betul dan mengendalikan keadaan dengan baik."
Ditanya mengenai Osman, yang kini berada di Batam, Indonesia, untuk promosi Tahun Melawat Johor 2020 di tengah-tengah krisis di Pasir Gudang, Dr Mahathir menjawab: "Dia pergi ke? Saya pun tak taulah."
Sehingga kini lebih 3,000 orang terkesan dengan pencemaran toksik ekoran pembuangan bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang dan pemergian Osman ke Batam menerima kritikan banyak pihak.
-- BERNAMA
#ADUN
#ADUN Perak
#Ahmad Faizal Azumu
#Batam
#Exco
#Indonesia
#kecemasan
#khabar angin
#kontroversi
#Mahathir Mohamad
#Menteri Besar Johor
#Menteri Besar Perak
#Osman Sapian
#panik
#Pasir Gudang
#UMNO