Mentaliti 'Pas sebagai parti agama' halangan kemenangan UMNO di Kelantan
Rahimah Abdullah
Februari 2, 2018 17:05 MYT
Februari 2, 2018 17:05 MYT
UMNO mampu menawan semula Kelantan jika parti itu boleh menarik sokongan pengundi luar bandar yang kebanyakannya melihat Pas dari sudut agama.
Penganalisis Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mansor Md Noor menjelaskan, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bakal menjadi medan ujian besar buat Pas sama ada kumpulan pengundi itu akan terus memegang pendirian berkenaan atau sebaliknya.
Bagaimanapun katanya, buat masa sekarang, UMNO boleh mengaut keuntungan daripada kecelarauan dan ketidakjelasan pendirian Pas.
"Dari segi satu sudut, nampak macam tidak mustahil UMNO akan rampas negeri Kelantan. Namun, kena ingat, pengundi di luar Kelantan itu mereka bukan Gen-Y dan bukan orang bandar, mereka ialah orang yang melihat Pas dari sudut agama. Itu masalahnya, sejauh mana pengundi luar bandar akan meninggalkan Pas," ujarnya.
Malah, UMNO dilihat pandai mengintai peluang dalam pertelagahan politik dalam Pas.
"Kalau kita tengok pertelagahan parti (politik) sekarang, mungkin UMNO yang akan dapat mata dan peluang itu (kemenangan di Kelantan) kalau dibandingkan dengan Amanah dan Pas.
"Ini kerana kalau kita perhati Pas keluar daripada Pakatan Rakyat dahulu, parti itu terpecah dua dan ini adalah antara masalahnya," kata beliau.
Pengundi juga mungkin keliru dengan Pas yang masih tidak jelas dengan matlamat perjuangan mereka, sekali gus memberi peluang dan kesempatan kepada parti lawan terutama Barisan Nasional untuk menarik sokongan pengundi di Kelantan.
"Pas pula kita perhatikan perbahasan dia mengenai perjuangan dan apa jua matlamat dalam pilihan raya semakin berlaku pertembungan , adakah mereka nak jadi Perdana Menteri, adakah mereka nak pegang negara dan adakah mereka nak bekerjasama dengan UMNO?.
"Jadi kalau kita perhati ketidakjelasan pendirian itu sebenarnya menyebabkan mereka yang golongan pertengahan dan Gen Y akan teragak-agak untuk mengundi Pas dan sebab itu UMNO akan dapat mata," ujarnya.