Menjelang PAU 2020: 'Bukan bicara siapa PM, TPM, tapi apa tawaran UMNO kepada rakyat' - Pemuda
Israr Khalid
Mac 24, 2021 23:50 MYT
Mac 24, 2021 23:50 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO tidak memberi tumpuan kepada gerakan menjatuhkan musuh politik, sebaliknya usaha untuk memperoleh kembali kepercayaan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, rakyat ketika ini menginginkan kestabilan untuk meneruskan kehidupan pasca pandemik COVID-19, justeru tindakan berebut kuasa adalah kesilapan besar.
“Kata kuncinya di sini adalah kestabilan. Kestabilan itu yang didamba oleh rakyat, kestabilan politik akan memberi kesan kepada kemakmuran, keyakinan dan kepercayaan para pelabur.
“Hari ini masyarakat hanya melihat berapa banyak pelabur keluar dari negara... (pelabur) yang dahulunya bertumpukan kepada Malaysia hari ini pergi ke negara jiran yang mengakibatkan pertumbuhan terencat.
“Jadi ini yang UMNO perlu tawarkan kepada mereka dan memberikan solusi, bukan berbicara soal siapa nak jadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Ini bukan UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI malam ini bersama Nazri Kahar yang menyentuh berkenaan perspektif parti itu terutamanya berkenaan pergerakan Pemuda menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2020 hujung minggu ini.
Begitupun, beliau tidak menafikan bahawa UMNO tidak boleh bergerak sendiri dan tidak pernah bersendirian dalam menjunjung agendanya, maka persepakatan dengan gabungan menjadi unsur penting dalam strategi UMNO.
Sebagai parti yang menjadi pemain utama pentas politik negara sejak lebih 60 tahun yang lalu, UMNO katanya perlu menyantuni dinamik politik yang sudah berubah dan segera kembali ke matlamat sebenar perjuangannya.
PAU2020 | Bukan bicara siapa PM, TPM, tapi apa tawaran UMNO kepada rakyat - Pemuda UMNO
“Orang boleh buat pelbagai spekulasi, contohnya apakah kita ada kerjasama dengan DAP dan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) yang dikatakan sebagai jajaran (politik) baharu? Apakah kita berpatah arang dengan kerajaan Perikatan Nasional? Atau apakah posisi kita dengan Pas dalam Muafakat Nasional? Itu sahaja pun dah celaru, macam-macam naratif.
“Tapi satu perkara paling penting yang kadang-kadang kita lupa yang UMNO adalah satu parti yang tidak pernah bersendirian dari merdeka sampai hari ini, kita sentiasa bekerjasama dan berpakat.
“Kerana akhirnya UMNO sebagai parti politik apa-apa pun mesti menerajui kuasa, dan bila mendapat kuasa ia perlu dikembalikan kepada rakyat. Dalam konteks ini, bagaimana kita hendak menawarkan sesuatu agar rakyat kembali yakin kepada UMNO,” katanya.
#UMNO
#Asyraf Wajdi Dusuki
#Agenda Awani
#Perhimpunan Agung UMNO
#PAU2020
#perebutan kuasa
#gerakan menjatuhkan musuh politik
#kepercayaan rakyat
#Pemuda UMNO