Mengurus naratif Melayu cabaran buat MB, Kerajaan Negeri Selangor akan datang - Ilham Centre

Irfan Faruqi
Ogos 20, 2023 19:40 MYT
Hisomuddin berkata Kerajaan Negeri perlu beri tumpuan mengurus sentimen Melayu yang kini lebih selesa dengan Perikatan Nasional. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor yang akan menyempurnakan angkat sumpah pada Isnin mempunyai tugas besar untuk meneruskan kecemerlangan pentadbiran penggal sebelum ini.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata Kerajaan Negeri juga perlu memberi tumpuan kepada mengurus sentimen Melayu yang kini menunjukkan lebih selesa dengan Perikatan Nasional (PN).
"Ingin diuruskan Kerajaan Negeri Selangor yang khususnya berlatarbelakangkan kemajmukan dan pelbagai kaum serta bangsa yang perlu diurus dengan baik. (Realitinya) satu blok (dalam Dewan Undangan Negeri) sekarang menjadi pengimbang kepada kerajaan adalah suara Melayu.
"Oleh itu, mengurus naratif Melayu adalah suatu kemestian kepada Kerajaan Negeri akan datang. Jadi, menguruskan suara dan hasrat komuniti Melayu ini cabaran getir kepada Kerajaan Negeri," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Fokus Minggu Depan terbitan Astro AWANI pada Ahad.
Selain itu, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar yang akan mengangkat sumpah jawatan itu juga perlu melaksanakan agenda reformasi menyeluruh sebagai penanda aras kepada negeri-negeri lain.
"Jadi dalam pokok persoalan ini, saya melihat sekiranya Selangor berjaya meletakkan satu tanda aras yang berbeza dengan negeri-negeri lain.
"Itu akan menjadi standard penting bahawa ini adalah kerajaan berteraskan Madani dan mampu membawa perubahan serta corak pemikiran reformasi secara menyeluruh," katanya lagi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang baru berlalu, menyaksikan gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Selangor (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 34 kerusi berbanding PN hanya 22 kerusi.
#Menteri Besar Selangor #angkat sumpah jawatan #Perikatan Nasional #sentimen Melayu #PRN #ILHAM Centre
;