Mengapa perlu bersatu di bawah lambang Pakatan Harapan?
Kenyataan Media
Jun 6, 2021 15:00 MYT
Jun 6, 2021 15:00 MYT
KUALA LUMPUR : Baru-baru ini telah hangat perdebatan berkenaan penggunaan lambang PKR bagi menghadapi PRU15 seperti yang diusulkan oleh sahabat saya, saudara Akmal Nasir yang juga merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Saya setuju dan berpegang kepada konsensus Majlis Presiden ketika retreat Pakatan Harapan di Port Dickson yang turut dihadiri wakil AMK. Bahawa kecenderungan tinggi untuk ‘Lambang Bersama’ adalah ke arah lambang Pakatan Harapan.
Sudah tentu perkara ini sepatutnya diserahkan perbincangannya kepada Majlis Presiden namun apabila saudara Akmal telah melontarkan usulnya secara terbuka, maka saya terpanggil untuk memberikan pandangan secara terbuka.
Suka saya mengingatkan bahawa yang telah menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pada PRU14 adalah Pakatan Harapan. Yang pada ketika itu tidak dapat didaftarkan, sehingga lambang rasminya tidak dapat diguna pakai untuk PRU14. Begitu kuatnya semangat Pakatan Harapan ketika itu, sehinggakan apa juga lambang atau pihak yang disokong oleh Pakatan Harapan, kebanyakannya berjaya menewaskan calon Barisan Nasional. Ini termasuklah calon-calon Bebas yang disokong oleh Pakatan Harapan.
Ini kerana rakyat dapat melihat satu kesatuan jitu blok pembangkang ketika itu di bawah semangat Pakatan Harapan. Selepas PRU14, Pakatan Harapan berjaya didaftarkan secara rasmi dan semangat itu tadi akhirnya mempunyai lambang rasminya sendiri. Selepas PRU14, lambang Pakatan Harapan telah memperoleh empat lagi kemenangan di pilihan raya kecil termasuklah bagi Parlimen Port Dickson yang kini disandang oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Seperti mana-mana lambang parti politik, ada pasang surutnya, lambang Pakatan Harapan juga begitu. Malah lambang PKR juga tidak terkecuali dan dapat kita lihat melalui keputusan pilihan raya negeri Sabah. Maka saya tidak nampak ada mana-mana pihak boleh menjamin bahawa lambangnya yang terhebat dan terbaik pada ketika ini.
Mengapa Harus Harapan?
Jadi mengapa kita perlu bersatu di bawah lambang Pakatan Harapan? Kerana yang dipanggil Pakatan Harapan inilah merupakan gabungan pembangkang terbesar dan simbol kesatuan kukuh menentang Perikatan Nasional dan konco-koconya. Sekiranya kita selaku parti komponen Pakatan Harapan memberi pelbagai alasan bahawa jenama Pakatan Harapan kurang itu dan ini, satu jari menuding kepada Pakatan Harapan, tiga lagi menuding kembali kepada kita.
Apa yang telah berlaku, telahpun berlaku. Masa untuk bergerak ke hadapan. Maka sepatutnya ketika ini Pakatan Harapan menyusun langkah memperkemaskan kembali saf, dan bergerak sebagai tubuh yang satu. Tidak setakat bergerak sebagai kesatuan, tapi juga mesti dilihat bersatu-padu. Kesatuan dan keyakinan terhadap Pakatan Harapan harus diterjemahkan dengan semua anggota gabungan mengibarkan lambang Pakatan Harapan dalam menghadapi gabungan kelam-kabut Perikatan Nasional.
Sekiranya kita dari kalangan anggota parti komponen melontarkan cadangan-cadangan yang seakan-akan mempersoalkan kemampuan dan kredibiliti Pakatan Harapan itu sendiri, itu hanya memberi apa yang musuh mahukan. Mengapa mesti dilakukan perkara sedemikian? Apakah masih lagi terdapat saki-baki gunting dalam lipatan? Saya berdoa minta dijauhkan.
Dirgahayu Pakatan Harapan.
Muhammad Shakir Ameer
Naib Ketua
Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan
DAPSY Malaysia
#Pakatan Harapan
#Muhammad Shakir Ameer
#DAP
#DAPSY
#lambang parti
#Akmal Nasir
#PKR
#politik
#Malaysia