Mengapa jadikan Dr Mahathir 'panglima tentera' Pakatan Harapan? - Otai Reformis

Harits Asyraf Hasnan
Mei 20, 2016 15:30 MYT
Jurucakap Otai Reformis Saiful Arifin mendesak supaya pimpinan PKR berwaspada dalam menjalin kerjasama dengan Dr Mahathir (gambar). -Foto fail
Aktivis Otai Reformis kecewa apabila ada antara pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadikan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pemimpin gerakan pakatan pembangkang, sekali gus meminggirkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, jurucakap Otai Reformis Saiful Arifin mendesak supaya pimpinan PKR berwaspada dalam menjalin kerjasama dengan Dr Mahathir.
"Pendirian Otai Reformis pada dasarnya menyokong pendirian Pakatan Harapan dalam usaha Deklarasi Rakyat, tetapi perlu berwaspada sebab ini salah satu cara dan kaedah Dr Mahathir.
"Dr Mahathir ini kita bagi 'tentera laut' sajalah, kita berperang ini (di antara) tentera darat dan tentera udara. Janganlah (jadikan Mahathir) serupa 'jeneral'.
"Yang (Pakatan Harapan) iktiraf dia sebagai 'jeneral lima bintang' apa kena?" kata Saiful dalam sidang media, di sini, hari ini.
Katanya, tidak salah untuk Pakatan Harapan bekerjasama dengan Dr Mahathir, namun jangan jadikan bekas perdana menteri yang pernah menjatuhkan Anwar sebelum ini sebagai pemimpin utama menjatuhkan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tambahnya lagi, 'Warkah Dari Penjara' nukilan Anwar bukanlah eksklusif saranan kepada pimpinan PKR, malah juga kepada pendokong reformasi dan aktivis.
"Keghairahan angka dan kempen untuk mengangkat deklarasi yang menafikan kepentingan moral untuk reformasi terhadap demokrasi yang beramanah dan berintegriti.
"Jelas kita melembutkan agenda pilihan raya Bersih, menggugat teras permuafakatan Pakatan Harapan dan hasrat rakyat sebenar yang telah menolak UMNO secara keseluruhan," ujarnya.
Otai Reformis pada masa sama melihat Deklarasi Rakyat tidak inklusif serta gagal dalam mengutamakan agama, bangsa, rakyat dan negara.
Tegas Saiful, Deklarasi Rakyat tidak boleh mengetepikan usaha Gagasan Reformasi sekali gus merangkumi beberapa perkara termasuk membebaskan Anwar.
Hadir sama pada sidang media tersebut ialah kumpulan aktivis Jingga 13 dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
#Anwar Ibrahim #Dr Mahathir #Jingga 13 #Saiful Arifin #SAMM #Solidariti Anak Muda Malaysia #warkah dari penjara
;