Mendepani Islamofobia: Amanah lihat pendekatan DAP lebih terbuka

Rahimah Abdullah
Mac 2, 2023 21:51 MYT
Sheikh Khuzaifah Sheikh Abu Bakar berkata, perubahan itu juga ditunjukkan melalui suara-suara pemimpin DAP yang lebih sentris dalam parti. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Pendekatan DAP pada hari ini dilihat lebih terbuka berbanding dahulu hasil kerjasama dan dialog dengan parti seperti Amanah.
Dalam masa yang sama, Bendahari Pemuda Amanah Nasional, Sheikh Khuzaifah Sheikh Abu Bakar berkata, perubahan itu juga ditunjukkan melalui suara-suara pemimpin DAP yang lebih sentris dalam parti.
"Di pihak DAP juga kita boleh lihat perubahan dalam pendekatan mereka. Dalam 90-an hingga sekarang ada perubahan, dan bagaimana mereka lebih terbuka hasil pendekatan yang diperjuangkan oleh pemimpin DAP seperti Anthony Loke Siew Fook, Steven Sim dan Liew Chin Tong, yang membawa suara lebih sentris dalam DAP.
"Sebab itu kita menolak pendekatan yang tajam kita percaya Islam itu paling tinggi, namun tidak juga membuat kita rasa orang lain lebih rendah," katanya semasa menjadi panel program Dialog Tiga Penjuru bertajuk "Tidak Perlu Fobia dengan Islam" yang disiarkan di saluran pada Khamis.
Ujarnya lagi, konsep rahmatan lil alamin yang dibawa Amanah bermaksud apa sahaja perjuangan parti tidak hanya tertakluk kepada sesuatu bangsa atau agama.
Sebaliknya, kata beliau, ia harus membawa kebaikan kepada semua pihak.
"Kalau katakan, dari sudut ekonomi, kita bukan sahaja nak lihat bangunkan ekonomi Islam sahaja, namun kita mahu membangunkan semua ekonomi bangsa yang memerlukan.
"Begitu juga pendidikan, kita memperjuangkan pendidikan untuk Bumiputera namun, memperakui hak bangsa lain untuk belajar," ujarnya.
#Amanah #DAP #Sheikh Khuzaifah Sheikh Abu Bakar #pemuda
;