Mendepani cabaran UMNO jadi pembangkang berwibawa - Bastien

Astro Awani
Disember 5, 2019 21:21 MYT
BASTIEN: Naratif perjuangan UMNO untuk anak muda perlu diberi nafas baru dan dibawa dengan lebih berani serta lantang. - Gambar fail
UMNO akan menjadi pembangkang berwibawa selain terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan berusaha menjadi kerajaan semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.
Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn berkata, ia berdasarkan perbezaan pendekatan parti berbanding kerajaan hari ini semasa menjadi pembangkang dahulu yang hanya menabur fitnah serta janji palsu lagi populis untuk mengambil alih negara.
"Persidangan UMNO sebagai pembangkang buat kali kedua tahun ini akan terus menjadi landasan membuktikan misi memenangi hati rakyat bukan bersandarkan janji bulan dan bintang atau menghampar statistik data mengaburi fikiran masyarakat seperti yang pernah dilakukan Rafizi Ramli. UMNO melihat senario kebangkitan kemarahan rakyat hari ini timbul bukan kerana tipu daya atau kesalahan parti namun kesilapan pentadbiran kerajaan sendiri.
"Pelbagai isu yang timbul daripada pihak kerajaan termasuk perihal komunis, mempersoalkan kedudukan penjawat awam, cadangan untuk askar membantu Felda dalam peladangan sawit, penguncupan ekonomi serta penjualan aset-aset penting negara telah mengundang kemarahan rakyat.
"Itu tidak termasuk isu berhubung kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang tidak mendapat pembelaan serta hubungan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang melibatkan parti tertentu di dalam kerajaan," katanya ketika ditemui di sini, pada Khamis.
BACA: Segera institusikan Muafakat Nasional - Asyraf Wajdi
BACA: Empat elemen Tawaran Baru UMNO untuk rakyat Malaysia
Dalam pada itu jelasnya, kekuatan UMNO dalam mendepani cabaran sebagai pembangkang berwibawa juga tidak pernah lari dari perjuangan-perjuangan tradisi selama ini.
Tegas Bastien, ia juga tidak pernah lari dari menegakkan perkara asas iaitu agama, bangsa dan negara sesuai dengan Perlembagaan negara.
"Persidangan UMNO juga sentiasa menekankan isu keharmonian dan tidak pernah mengetepikan hak atau keistimewaan bangsa lain serta sentiasa menyediakan platform untuk bangsa masing-masing melalui komponen Barisan Nasional (BN) yang merangkumi parti-parti khusus bangsa masing-masing.
"Sifat Melayu yang dominan dari segi jumlahnya juga menjadi tunjang kepada kesepakatan rakyat selama ini. Ditambah pula dengan rakan baharu, Pas yang mengukuhkan lagi kedudukan Melayu akan memberi peluang untuk membuktikan bahawa kaum Melayu tidak akan meminggirkan kaum-kaum lain," ujarnya.
Jelasnya lagi, kekuatan kerangka kepelbagaian kaum ini tidak boleh dipertikaikan lagi seperti yang terbukti di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Semenyih, Rantau dan Cameron Highland.
Tambahnya, PRK Tanjung Piai juga telah memberi suara lebih kuat untuk masyarakat Cina di dalam Parlimen.
Bastien turut berharap sebarang ucapan pemimpin semasa Perhimpunan Agung kali ini dibuat dengan berhati-hati dan tidak mencederakan parti, mengguris perasaan sesiapa dan tidak menyentuh perkara-perkara yang melibatkan kedudukan agama lain seperti termaktub di dalam Perlembagaan.
"Naratif perjuangan UMNO untuk anak muda perlu diberi nafas baru dan dibawa dengan lebih berani serta lantang termasuk yang melibatkan isu pemanasan global, mendaya usaha untuk menimbulkan kesedaran betapa pentingnya menjaga alam sekitar dan hidupan liar.
"Ia termasuk juga usaha kitar semula, mengurangkan penggunaan plastik dan tenaga guna semula selain ucapan meniup rentak semangat perjuangan kepada ahli yang menjadi tradisi UMNO selama ini.
"Harapan lain juga agar UMNO menyatakan dengan jelas bahawa parti ini membenci rasuah dan menolak amalan ini. Sokongan kpd usaha utk memerangi rasuah harus disokong dgn sepenuh hati. Ia bersandarkan statistik terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menunjukkan 50 peratus tangkapan kes melibatkan individu berumur di bawah 40 tahun.
"Trend itu membimbangkan kerana anak-anak muda ini akan menjadi golongan pelapis yang akan mewarisi tampuk pimpinan negara," tegasnya.
#Barisan Nasional #Felda #LTTE #PAS #Pemuda UMNO #PRK Tanjung Piai #PRU #SPRM
;