Mendaulatkan agama antara Manifesto Pas Kelantan PRU14
Vivi Sumanti
April 23, 2018 17:15 MYT
April 23, 2018 17:15 MYT
Pas Kelantan menawarkan 14 teras utama dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kepada rakyat negeri itu sejajar dengan slogan mereka “Kelantan sejahtera bersama Islam”.
Antaranya mendaulatkan Islam, meneruskan kecemerlangan pendidikan, menyuburkan ekonomi dan memperkasakan pembinaan rumah rakyat.
Selain itu, Pas juga menyenaraikan hasrat melestarikan alam sekitar, mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat, meningkatkan kemudahan asas, pembinaan Kelantan sejahtera, memperkasakan sektor pelancongan Islam dan pertanian.
Tidak dilupakan golongan belia dan wanita di Kelantan dan juga kecaknaan kepada rakyat negeri itu yang berada di luar serta memelihara hak-hak rakyat.
Di bawah mendaulatkan Islam, usaha memperkasakan perundangan syariah akan diteruskan dan menaikkan kadar elaun iman dan bilal di seluruh Kelantan.
Sementara itu, Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi menjelaskan manifesto berkenaan lebih kepada menawarkan perkhidmatan kepada rakyat Kelantan.
Walaupun manifesto tersebut tidak menyenaraikan secara terperinci tawaran kepada kaum minoriti termasuk Cina, India dan masyarakat Siam di Kelantan, Pas katanya, menyenaraikan kesemua tawaran itu merangkumi kepada kaum minoriti di Kelantan.
Manifesto berkenaan dilancarkan oleh Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan dihadiri oleh kesemua pimpinan Pas Kelantan.
#Ahmad Yakob
#ekonomi
#Islam
#Kota Bharu
#Manifesto
#PAS
#Pas Kelantan
#pendidikan
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#PRU14
#syariah
#wanita