Mencari 'kiblat' asal dalam perjuangan kepemimpinan Jasa

Wan Syamsul Amly
April 24, 2018 13:40 MYT
Sesiapapun yang mengemudi Jasa harus kembali kepada platform dan hala tuju asal dalam perjuangan kepemimpinan Jasa selama ini. - Gambar hiasan
JABATAN Hal Ehwal Khas (Jasa) dikatakan bermula sejak tahun 60-an dengan misi menjadi badan penyediaan maklumat dan analisis politik, pengurus maklumat dan persepsi, serta pemudah cara bagi parti siasah dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Ia sekali gus menjadi agensi untuk memperjelas selain mendidik golongan sasar terhadap dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa yang bermisi mengekalkan kestabilan politik serta perpaduan rakyat.
Keluarga besarnya sentiasa komited dalam menyediakan laporan isu-isu semasa di peringkat daerah dan negeri, serta tidak pernah alpa dalam menjelaskan isu-isu semasa dan dasar-dasar kerajaan.
Ia dilakukan secara interaktif dengan khalayak melalui komunikasi bersemuka, penyebaran maklumat di media sosial serta penyediaan bahan penerbitan dan edaran.
Dalam pada itu, Jasa juga melaksanakan program-program yang bertujuan mendidik pemikiran rakyat untuk melahirkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu, serta memahami dasar-dasar kerajaan.
Paling penting, semuanya dilakukan dengan titik sentuhan yang benar-benar dekat di hati rakyat dengan penuh rasa keprihatinan.
Dalam usianya mencecah 60 tahun, Jasa sendiri sudah mengalami beberapa proses transformasi dan penambahbaikan, terutama dari asalnya satu bahagian, kini menjadi sebuah jabatan.
Ia ketika ini diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia di bawah menteri Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak selain sebelum ini dipegang beberapa nama besar termasuk Tan Sri Dr Rais Yatim dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Warga Jasa, walaupun kebanyakannya berstatus kontrak, kini sudah mula tersenyum apabila proses serapan ke jawatan tetap sudah mula dilakukan sedikit demi sedikit, sekali gus membuktikan cakna kerajaan dalam isu itu.
Memimpin pendapat rakyat
Di zaman alaf baru ini, Jasa sendiri berhadapan revolusi dan moto 'Memimpin Pendapat Rakyat' yang diperkenalkan salah seorang ketua pengarahnya, Allahyarham Datuk Fuad Hassan, terus menjadi pegangan keluarga besar jabatan itu.
Moto yang diperkenalkan Allahyarham, yang memimpin Jasa mulai 16 Julai, 2009 hingga 7 Disember, 2014, turut dihuraikan di dalam lagu jabatan dan menjadi inspirasi mereka untuk berkhidmat dengan lebih baik dari hari ke hari.
Selepas ketiadaan Fuad, tampuk itu diambil alih Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang meneruskan kesinambungan jabatan sehingga satu 'insiden' baru-baru ini apabila namanya digugurkan sebagai calon untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ia seolah-olah satu tamparan besar buat individu ini yang pernah tewas tipis pada PRU13 di Batu Pahat, kepada calon PKR, Mohd Idris Jusi, dengan hanya kekurangan 1,732 undi.
Spekulasi yang tular dalam media sosial kencang menyatakan Mohd Puad akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarah Jasa. Bagaimanapun, perkara ini belum tentu kesahihannya.
Mohd Puad sendiri malahan mengaku tabah, walaupun tidak disenaraikan bertanding semula dalam senarai calon Barisan Nasional (BN) pada PRU kali ini.
Dalam erti kata lain, spekulasi Mohd Puad mengumumkan akan bertanding atas tiket Bebas di Parlimen Batu Pahat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, juga masih belum dapat disahkan.
BACA: Memoir 66 bulan: Patah tumbuh, hilang berganti untuk Jasa
BACA: Mohd Puad Zarkashi harus terima hakikat - TPM Zahid
Sebagai Ketua Pengarah Jasa, Mohd Puad tentu faham dan hadam kedudukannya sebagai seorang ketua yang harus memastikan tanggungjawab jabatannya untuk memperkukuhkan kestabilan politik dan keselamatan negara, dengan mendapatkan sokongan rakyat terhadap kerajaan semasa.
Beliau juga sedar tugasnya untuk mendorong dan memimpin pendapat rakyat terhadap kerajaan, melalui pendekatan komunikasi bersepadu, selain menjadi perantara hubungan timbal balik (reciprocity) di antara kerajaan dan rakyat, di dalam dan luar negara.
Paling penting, dia harus menjadi ketua dalam usaha meningkatkan perpaduan serta keharmonian rakyat berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Jika semuanya dilakukan dengan baik, apa sahaja yang dilakukan Mohd Puad, jika benar seperti yang dispekulasi akan menjadi calon Bebas, boleh diandaikan sebagai isu terpencil dan satu pendapat peribadi yang jelas berbeza dengan pegangan Jasa itu sendiri.
Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri memberitahu, keputusan tidak mencalonkan semula Mohd Puad adalah berdasarkan kepada hasil penilaian landskap politik di seluruh negara, termasuk di kawasan Parlimen berkenaan.
Ahmad Zahid juga menasihati Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu agar menerima hakikat bahawa kawasan itu berada dalam keadaan agak parah di segi kerosakan dan hakisan sokongan kepada BN.
Kira-kiranya kini mudah, apa sahaja tindakan Mohd Puad adalah langkah peribadi. Jika benar berita tular Mohd Puad mahu meletak jawatan, letaklah jawatan dan teruskan dengan misi peribadinya.
Namun, jika ia hanya spekulasi, kembalilah kepada kiblat asal jabatan untuk memastikan kelangsungan pemerintahan Kerajaan Persekutuan dalam setiap PRU.
Teruskan visi dan misi Jasa menjadi jabatan yang unggul dalam meneraju transformasi ke arah mempertingkatkan kesedaran, kefahaman dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Sesiapapun yang mengemudi Jasa harus kembali kepada platform dan hala tuju asal dalam perjuangan kepemimpinan Jasa selama ini.
Baliklah semula kepada teras ayat Allahyarham Datuk Fuad dalam memimpin Jasa, sepertimana katanya:
"Aku hanya orang biasa. Ketahuilah, sesaatpun aku tak pernah mengkhianati tanah air dan bangsaku. Aku bersyukur kepada Tuhan yang menyelamatkan perjuanganku."
* Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Ahmad Shabery Cheek #Barisan Nasional #Fuad Hassan #jasa #MalaysiaMemilih #Mohd Puad Zarkasahi #NGO #PKR #PRU14 #Rais Yatim #Salleh Said Keruak #UMNO #Zahid Hamidi
;