Menanti manifesto terbaik di Tanjung Piai

Wan Syamsul Amly
November 7, 2019 09:19 MYT
Dalam tempoh kempen masuk satu minggu ini, tindakan calon yang lebih gemar memperkenalkan diri hanya menerima keraguan pengundi kerana individu-individu ini sudah dikenali. - Gambar BERNAMA
JURNAL berjudul "Teori permainan dan aplikasi strategi kuasa memikat pengundi dalam PRU 14" menyatakan perkara utama dalam pertarungan politik adalah manifesto bagi setiap parti gabungan.
Hasil kajian cendekiawan Muhd Afiq Syazwan Ahmdon, Haslina Muhamad, Noor Sulastry Yurni Ahmad dan Filzah Md Isa itu turut menghuraikan, bagi memahami strategi yang digunakan dalam mengekalkan, meluaskan kuasa dan kaedah yang digunakan, manifesto PRU setiap parti gabungan digunakan bagi memahami mengenai strategi mendapatkan undi.
Jelas, pada PRU ke-13 Barisan Nasional (BN) membawa pendekatan manifesto "BN Menepati Janji, Membawa Harapan" setebal 32 muka surat sementara pada PRU ke-14, mereka membawa semangat ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku’ dalam manifesto setebal 220 muka surat.
Sementara Pakatan Rakyat (PR) pada PRU ke-13 menggunakan manifesto ‘Manifesto Rakyat: Pakatan Harapan Rakyat’ setebal 38 muka surat dan mengecap kemenangan dengan manifesto atas gabungan Pakatan Harapan (PH) dengan ‘Membina Negara Memenuhi Harapan’ setebal 203 muka surat pada PRU yang lepas.
Tunggu manifesto
Sampai hari ini rasanya sudah hampir seminggu kempen dijalankan namun semua calon bertanding masih gagal membentangkan manifesto masing-masing.
Mungkin di Tanjung Piai ini manifesto bukan satu keperluan namun harus diakui dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK) sekalipun, jentera, jawatankuasa atau kumpulan gerak kerja perlu membantu calon dengan menganalisis sikap pengundi di 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di sana.
Jelas, dalam menganalisis sikap pengundi ini, ada tiga perkara penting yang akan diketengahkan;
Pertama, perlu dilihat nilai-nilai yang ada kepada pengundi. Nilai-nilai pengundi itu ialah apakah keutamaan mereka selepas memberikan kepercayaan kepada calon yang berkenaan.
Sebagai contoh, apakah mereka memerlukan kestabilan, pembaharuan atau memilih perlindungan sosial atau peluang ekonomi selain kemungkinan juga mahu lihat apa yang membezakan mereka dengan penduduk di tempat lain.
Itu dari segi analisis nilai, sementara sikap pula memainkan faktor penting dalam analisis kedua. Sikap ini adalah sikap optimistik mahupun pesimistik ataupun mereka yang mempunyai pengaruh kepada kepercayaan dan mahu melihat situasi yang lebih baik dari sebelum ini. Ia sikap yang akan dianalisis jentera.
Tentunya, yang terakhir adalah tentang isu yang meliputi semua aspek isu dan selalunya dibangkitkan adalah ekonomi sebelum kedua terpenting isu sosial. Begitulah seterusnya kepentingan itu tertumpu juga kepada hal-hal kebajikan.
Jadi, pihak yang bekempen untuk menang piilihanraya haruslah menggunakan medan ini untuk menyampaikan mesej yang menyakinkan dan penting selain pasti mahu didengar oleh pihak pengundi.
Bayangan janji
Dalam kes di PRK Tanjung Piai, pihak PH telah membayangkan lebih kurang lima perkara utama meliputi hal kesihatan, peluang pekerjaan, pendidikan, kos sara hidup, menambah pelaburan dan memiliki rumah mampu milik.
Apa yang penting selepas ini adalah bagaimana mereka mahu menyakinkan lima perkara ini penting kepada pengundi sebelum mereka memberi kepercayaan kepada PH.
Apa yang jelas, bagaimana PH mahu memastikan perkara-perkara itu menjadi realiti di depan mata pengundi tidak pula dinyatakan mereka.
Kalau diberitahu sahaja perkara begini dan dibiarkan berlarutan, maka mesej akan menjadi tidak menyakinkan atau carcamarba, malahan kemungkinan terus lahir situasi yang lintang pukang.
Dalam pada itu, laporan media serta media sosial juga ternyata banyak menyebut bahawa apa yang ditekankan oleh penduduk terhadap kesan apakah yang akan berlaku kepada mereka.
Ternyata beberapa kumpulan dikesan seperti pekebun kelapa sawit, kumpulan seperti nelayan, pengusaha feri atau pengusaha teksi memerlukan sesuatu yang dilihat sebagai praktikal dan resolusi jangka panjang dalam kehidupan seharian mereka.
Bezanya pada PRK kali ini, ada beberapa kebetulan seperti bantuan yang diberi, kebetulan memberi derma kepada sekolah selain kebetulan membuat projek jalan.
Walaupun kebetulan, perkara ini juga difahami dan sudah dihadam oleh pengundi era Malaysia lama. Namun, Malaysia Baharu ini perlu lebih terarah kepada sesuatu yang lebih menyakinkan.
Kalau sekadar mahu merasa nadi atau denyut mereka yang memerlukan kepimpinan tanpa maksud keprihatinan sebenar, ternyata parti itu akan mengalami kekalahan sebelum waktunya.
Apa nasib
Apa nasib dan masa depan kampung yang mempunyai jeti nelayan antaranya di Rambah, Belokok, Penerok, Sungai Durian, Serkat dan Tanjung Piai?
Mereka nampak, peruntukan untuk membina jeti hanya turun pada waktu musim PRK dan hakikatnya banyak bantuan kepada nelayan dipotong malah ada juga yang ditolak.
Kita tinjau apa pula nasib pekebun kelapa sawit di 12 PDM khususnya kawasan kampung iaitu enam di DUN Pekan Nanas dan enam lagi di DUN Kukup?
Apakah juga agaknya penyelesaian masalah saluran perparitan di PDM Pengkalan Raja (Kg Pt Pasir) yang tidak baik sehingga menyebabkan banjir kilat sejak 20 tahun lalu sehingga ke hari ini?
Bagaimana pula status projek jalan Peradin sehingga ke Tanjung Bin yang masih tidak selesai dan sudah memakan masa hampir empat tahun?
Lebih menyedihkan, projek jalan ini juga menyebabkan habuk dan mengganggu keselesaan penduduk yang kediamannya hampir dengan jalan tersebut.
Dalam hal ini, ternyata juga tidak ada perincian (blue print) seperti aspek mahu menambah pelaburan supaya ada penambahan peluang pekerjaan di Tanjung Piai atau anak muda memutuskan terus ke Singapura untuk mencari rezeki.
BACA: Tanjung Piai Memilih: Kalau menang pun, BN tak boleh buat apa - Tun Mahathir
BACA: Menyeimbang kekuatan calon dan parti di Tanjung Piai
Hakikatnya, isu lokal apa yang akan dimainkan Karmaine Sardini seandainya menjadi wakil rakyat di Parlimen kelak selain soalan sama kepada Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, apakah topik yang akan dibangkitkan di Parlimen nanti?
Ini persoalan yang ditanya pengundi dan pada waktu begini, pertanyaan seumpama itu menjadi sangat penting untuk dijawab oleh jentera parti.
Calon juga seharusnya tahu, perkara ini tidak boleh dijawab secara sambil lewa, bukan secara kebetulan tetapi secara lebih menyakinkan dan menjawab perkara penting yang mahu didengar pengundi.
Barangkali jawapan-jawapan ini yang akan ditulis dalam manifesto tetapi tunggulah sehingga keluarnya satu ‘AkuJanji’ atau apa sahaja dokumen yang boleh dirujuk sebagai manifesto.
Namun begitu, dalam tempoh kempen masuk satu minggu ini, tindakan calon yang lebih gemar memperkenalkan diri hanya menerima keraguan pengundi kerana individu-individu ini sudah dikenali.
Pengundi mahu tahu apa yang hendak disampaikan. Mesej itu yang sedang ditunggu pengundi sebelum mereka membuang undi pada 16 November ini.
Ya, masih ada waktu, ini mungkin strategi jentera parti untuk memberitahu pengundi apa manifesto mereka pada saat akhir, kita serahkan sepenuhnya kepada jentera serta mereka yang menguruskan PRK ini.

Wan Syamsul Amly ialah wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#banjir #Barisan Nasional #calon #ekonomi #ISA #kesihatan #Manifesto #media sosial #nelayan #Pakatan Harapan #Pakatan Rakyat #pelaburan #pendidikan #pilihan raya kecil #PRU #rakyat #sekolah
;