Menang PRK Pengkalan Kubor hadiah hari jadi terbaik untuk saya - Tok Pa

Bernama
September 25, 2014 07:42 MYT
TOK PA: Menang PRK Pengkalan Kubor hadiah hari jadi terbaik untuk saya - Gambar fail
Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan kemenangan calon BN Mat Razi Mat Ail pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor hari ini, merupakan hadiah hari lahir yang terbaik dalam hidup beliau.
Mustapa, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-64, berkata kemenangan tidak dijangka itu adalah hasil gerak kerja kesemua jentera parti yang bertungkus lumus dalam mengekal kemenangan BN di DUN berkenaan.
"Jentera Pemuda, Wanita dan Puteri banyak membantu dalam PRK ini dan keputusan pada malam ini adalah luar biasa. Saya terharu dengan sokongan dan sudah pastinya saya sangat gembira dengan kemenangan calon BN yang kita pertaruhkan ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman keputusan rasmi PRK DUN Pengkalan Kubor di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Biji Wangsa di sini malam ini.
Mat Razi berjaya mempertahan kerusi BN bagi DUN itu dengan memperoleh majoriti sebanyak 2,635 undi pada PRK berkenaan.
Beliau juga berjaya meningkatkan majoriti sebanyak 899 undi berbanding penyandang, Allahyarham Noor Zahidi Omar yang mendapat 1,736 undi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).
Mat Razi, 48, mendapat 9,961 undi, mengalahkan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, yang mendapat 7,326 undi dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, 47, yang hilang wang pertaruhan apabila hanya memperoleh 38 undi.
Turut hadir pada pengumuman rasmi keputusan itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Setiausaha BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.
Mustapa juga berkata kemenangan BN di Pengkalan Kubor akan menjadi perintis 'Gelombang Merah' untuk terus meraih kejayaan di kawasan lain yang dikuasai PAS di Kelantan.
"Kemenangan ini akan menjadi momentum buat BN dan sudah pasti kita akan terus bekerja keras agar gelombang ini akan menjadi lebih besar," katanya.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Shahidan Kassim pula berkata kemenangan itu menunjukkan rakyat Kelantan sudah letih dan jemu dengan politik maki hamun.
"Perkara ini (maki hamun) mudah berlaku di Kelantan tetapi di sini (Pengkalan Kubor) rakyatnya menolak dalam bentuk undi yang kita dapat. Ini menunjukkan pengundi di sini sudah bersedia menerima perubahan untuk mendapatkan pembangunan," katanya.
Beliau juga berharap kemenangan BN malam ini bakal menjadi permulaan buat Kelantan untuk menerima perubahan lebih besar di bawah BN kelak.
Sementara itu, Anggota Dewan Negara Senator Datuk Boon Som Inong menyifatkan kemenangan BN pada PRK DUN Pengkalan Kubor sebagai manifestasi keyakinan rakyat terutama masyarakat Siam yang memberi 'lampu hijau' terhadap kewibawaan BN untuk terus mentadbir kawasan itu.
Penasihat Penyelaras Pembangunan Masyarakat Siam itu juga berkata pengundi di Pengkalan Kubor membuat keputusan yang bijak sekali gus memastikan kesinambungan pemerintahan BN di kawasan berkenaan.
"Saya amat gembira dengan keputusan cemerlang BN mempertahan kemenangan biarpun kiri kanannya adalah kubu pembangkang dengan penambahan majoriti yang agak tinggi.
"Pada pengiraan saya secara kasar, 88 peratus masyarakat siam telah mengundi BN dan itu menjadikan faktor kemenangan yang lebih besar berbanding sebelumnya (PRU-13).
Boon Som berkata rata-rata masyarakat Siam menyenangi keperibadian Mat Razi yang merendah diri dan mudah mesra selain banyak berjasa kepada anak-anak masyarakat Siam selaku guru sebelum ini.
"Itulah yang menjadikan masyarakat Siam penentu kemenangan dalam PRK ini. Kalau kita lihat peti undi Jubakar Darat, peratusan undi BN begitu tinggi sekali," katanya.
#Bebas #BN #hari #jadi #kubor #majoriti #mustapa #PAS #PRK #Tumpat #undi
;