Menang dua kerusi Parlimen dorong Anwar lebarkan rentak tawan Tambun

Bernama
Oktober 29, 2022 17:17 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pemindahannya ke kerusi Parlimen baharu berikutan keyakinan dua kerusi yang pernah disandangnya sebelum ini dapat meneruskan rentak kemenangan. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pemindahannya ke kerusi Parlimen baharu berikutan keyakinan dua kerusi yang pernah disandangnya sebelum ini dapat meneruskan rentak kemenangan.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh dan penyandang kerusi Parlimen Port Dickson itu berkata, pemindahan ke kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diputuskan selepas kajian dilakukan di kawasan tersebut.
"Saya telah meninggalkan suatu gelanggang yang sudah kukuh. (Parlimen) Permatang Pauh bagi saya sudah kukuh dan (Parlimen) Port Dickson dalam beberapa tahun ini saya telah berikan perhatian sangat banyak.
"(Jadi) saya hendak kukuhkan dan harus tawan kawasan baharu untuk memenangi dan menawan negara," katanya dalam rakaman audio yang dikongsikan kepada media menerusi kumpulan WhatsApp, di sini, hari ini.
Pada pengumuman calon PKR semalam, Anwar, yang juga calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) disahkan bertanding di kerusi Parlimen Tambun dan dijangka bertembung penyandang kerusi itu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Bersatu.
Seramai 72 calon ditampilkan PKR untuk bertanding kerusi Parlimen pada PRU15.
Malah pada majlis pengumuman calon itu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, Anwar sedang mendahului di Parlimen Tambun berdasarkan tinjauan dan semakan terperinci dilaksanakan parti itu.
Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua hari ini yang memberi amaran bahawa langkah PKR menggugurkan beberapa Ahli Parlimen menjelang PRU15 boleh menjejaskan parti, Anwar yang juga Presiden PH menegaskan, tidak semua pemimpin daripada parti itu perlu diketengahkan sebagai calon PRU15.
Beliau berkata, muka-muka baharu termasuk golongan generasi baharu perlu diberi peluang untuk bertanding pada pilihan raya tersebut.
"Saya ingin tegaskan (kepada) Tian Chua, tidak semua perjuangan itu harus melalui jalur pilihan raya. Kita perlukan sokongan tokoh-tokoh lama ini dalam parti untuk terus bimbing anak-anak muda," katanya.
Menurut laporan media, Tian Chua memberitahu terdapat ramai dalam kalangan ahli parti itu kecewa dengan keputusan yang telah dibuat pucuk pimpinan dalam memilih calon-calon untuk bertanding di beberapa kerusi dalam pilihan raya kali ini.
Antara bekas Ahli Parlimen PKR yang tidak akan mempertahankan kerusi mereka termasuk Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), R Sivarasa (Sungai Buloh), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), June Leow (Hulu Selangor), Johari Abdul (Sungai Petani) dan Chan Ming Kai (Alor Setar). - BERNAMA
#PRU15 #parlimen tambun #calon PKR #Anwar Ibrahim
;