Memang sedih, kecewa, tetapi Mohd Zaim akur tak jadi calon
Harits Asyraf Hasnan
April 25, 2018 16:18 MYT
April 25, 2018 16:18 MYT
Penyandang kerusi Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan, mengakui sedih dan kecewa selepas digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Bagaimanapun, beliau menerima keputusan yang dibuat pucuk pimpinan BN dengan berlapang dada serta jiwa yang besar.
“Sebagai manusia, saya kena berterus terang. Tentu ada rasa kecewa, tidak puas hati. Akhirnya apabila saya fikir, ini adalah keputusan pucuk pimpinan parti dan saya sebagai ahli parti dan telah menerima mandat daripada parti, kena terima keputusan ini dengan hati yang terbuka dan berlapang dada.
“Mereka yang dicalonkan adalah orang di dalam UMNO Bahagian, yang sama-sama memimpin bahagian selama ini. Bagi saya, pemilihan mereka oleh pucuk pimpinan merupakan satu pilihan yang bersesuaian dengan kedudukan mereka dalam parti,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di kediamannya di sini.
Terdahulu, beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Parit, mengadakan perbincangan bersama beberapa pemimpin peringkat bahagiannya, termasuk calon-calon BN di Parlimen itu.
Ditanya sama ada terdapat jentera parti yang kecewa dengan keputusan yang dibuat pucuk pimpinan BN, jawab Mohd Zaim, mereka juga perlu menerimanya dengan hati yang terbuka.
"Bagi saya, di peringkat-peringkat (bahagian), maklum balas pertama memang begitu. Bagaimanapun, InsyaAllah kalau sekiranya mereka ini ditemui, dijumpa, dibincang, dirunding balik, dipanggil bersembang, InsyaAllah suasana itu boleh diatasi.
"Walaupun saya dengar tadi 16 bilik gerakan tutup (ditempat lain) dan sebagainya, InsyaAllah, demi parti," tambahnya.
BN Perak meletakkan penyandang kerusi DUN Belanja, Datuk Mohd Nizar Zakaria, sebagai calon di kerusi Parlimen Parit manakala DUN Belanja diwakili Setiausaha UMNO Bahagian Parit, Khairudin Abu Hanipah dan DUN Bota diwakili Ketua Pemuda UMNO Perak, Khairul Shahril Mohamed.
Mohd Zaim telah bertanding dibawah tiket BN sejak lima penggal lalu iaitu pada 1995.
Beliau hanya tewas semasa PRU pada 1999 dan pernah menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri Perak dan Ahli Parlimen Parit selama satu penggal.
#Barisan Nasional
#calon
#Ipoh
#MalaysiaMemilih
#Mohd Zaim Abu Hasan
#parit
#Parlimen
#pemilihan
#Perak
#PRU14
#UMNO