Meluat tengok YB Shah Alam - Nazri Aziz
Harits Asyraf Hasnan
April 11, 2022 12:25 MYT
April 11, 2022 12:25 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menyindir Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abd Samad berkait keputusan beberapa Ahli Parlimen keluar parti pasca-Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Ia selepas Khalid meminta pendirian Nazri berhubung keputusan parti yang mengambil Ahli-Ahli Parlimen yang melompat parti, selain bekerjasama dengan parti yang keluar daripada gabungan.
"YB Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) jadi perdana menteri pun, dengan sokongan hangpa (kalian)," katanya merujuk kepada gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN).
"Jadi, jangan cuci tangan. Sama-samalah bertanggungjawab," ujar Khalid.
Nazri yang ketika itu sedang berbahas, menyifatkan situasi tersebut tidak sama dengan perbuatan melompat parti.
"Tak sama. Tak sama. Sebab, kita (Barisan Nasional) ada 42 kerusi sahaja, mereka (parti lain dalam PN) ada lebih. Pada ketika itu, kita (BN) ikut sahaja.
"Tetapi sekarang, ada Ahli-ahli Parlimen yang berubah hati atas kezaliman Pakatan Harapan (PH). Jadi, mereka tinggal (keluar PH) dan ada sebab mereka tinggal.
"Tetapi, mereka (yang keluar PH) tidak menjadi ahli pentadbiran di bawah Perdana Menteri kita (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob). Ini fakta yang harus kita bezakan.
"Kalau dia nak sokong kita, nak buat macam mana? Dah (dia) meluat sangat tengok YB Shah Alam. Dia suka kita, takkan kita nak tahan," bidas Nazri.
Nazri berkata demikian ketika membahaskan pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, seiring langkah awal kepada pelaksanaan Akta Antilompat Parti di negara ini.