Melayu perlu mengaku salah apabila tidak kuat bekerja - Dr Mahathir

Astro Awani
September 8, 2018 23:00 MYT
DR MAHATHIR: Melayu kurang menguasai ilmu dan maklumat selain lebih suka menyerahkan kerja kepada orang lain. - Gambar Astro AWANI / Shahir Omar
Melayu perlu mengaku bersalah apabila tidak bekerja sekuat orang lain dan tidak mengambil berat tanggungjawab masing-masing.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Melayu juga sering kurang meneliti sebelum membuat sebarang keputusan dan bertindak.
Jelasnya, Melayu kurang menguasai ilmu dan maklumat selain lebih suka menyerahkan kerja kepada orang lain.
"Kita cepat menuntut hak. Gaji dan upah perlu tinggi. Tetapi kita kerap membawa M.C. apabila tidak hadir untuk bekerja. Ada sahaja sebab.
"Kerana kita tidak sanggup bekerja maka pekerja asing membanjiri negara kita. Tanpa mereka negara kita tidak dapat dibangun. Jika banjir ini membesar dan mereka tinggal lama di negara kita, secara tidak langsung atau secara langsung mereka akan memiliki negara kita.
"Anak dara kita akan berkahwin dengan mereka. Negara kita ini akan jadi lebih berbilang kaum dan kita pun akan undur ke pinggir hutan setelah menjual hartanah kita kepada orang lain," katanya semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun Kedua Bersatu di Stadium Melawati di sini, hari ini.
Tegasnya, penubuhan Bersatu adalah kerana UMNO tidak dapat diperbaiki dan Melayu masih tidak dapat menerima parti berbilang kaum.
"Jika UMNO perlu diganti dengan parti lain, maka parti itu mestilah parti Melayu yang mendapat sokongan orang Melayu," ujarnya.
Jelas Dr Mahathir, kuasa Bersatu sebagai anggota Kerajaan campuran akan digunakan bagi menjayakan orang Melayu dan mengurangkan jarak ekonomi dengan kaum-kaum lain.
"Kita akan cipta dasar, peluang dan mengadakan kemudahan bagi orang Melayu meningkatkan prestasi mereka. Tetapi kali ini kita akan tentukan segala yang diberi kepada orang Melayu tidak akan
disalahgunakan oleh mereka.
"Jualan pemberian tidak akan dibenar. Kita akan tentukan mereka dilatih dengan cara-cara mengurus, terutama pengurusan wang. Kita akan semai ke dalam hati sanubari mereka nilai-nilai yang mulia.
"Kita tidak akan teragak-agak bertindak terhadap penyelewengan. Kita akan tentukan hanya mereka yang terlatih atau berpengalaman sahaja akan diberi pertimbangan semasa menilai tawaran mereka dalam tender," katanya.
Tegasnya, mereka yang berjaya mendapat lesen, AP, kontrak dan lain-lain mesti dilaksanakan sendiri.
"Jika dijual atau dipindah kepada orang lain, samada Melayu atau bukan, maka lesen, AP, kontrak akan dibatalkan. Oleh itu hanya mereka yang mampu melaksana sendiri sahaja perlu memasuki tawaran.
"Sokongan dari Menteri atau pembesar akan diketepikan. Ini termasuk sokongan oleh
Perdana Menteri. Penilaian akan diasaskan kepada kewangan, kecekapan dan pengalaman.
Bagi yang belum ada pengalaman, bekerjalah dalam jurusan pilihan dahulu," katanya.
#AP #Bersatu #kontrak #Mahathir Mohamad #MC #Perdana Menteri #UMNO
;